Jalur Gemilang

Jalur Gemilang adalah nama rasmi yang diberikan kepada bendera Malaysia.
Idea untuk memberikan nama pada bendera diusulkan oleh Dato' Hashim Bin Mat
Idris memandangkan bendera Malaysia pada waktu itu masih belum mempunyai
nama. Cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Perdana Menteri dan pada 11
Julai 1995 beliau telah bersetuju supaya diadakan satu peraduan bagi mencari
nama yang sesuai untuk Bendera Malaysia. Penyertaan kali ini dihadkan kepada
pihak-pihak tertentu sahaja. Ekoran dari itu, satu mesyuarat untuk menubuhkan
Jawatankuasa Induk telah diadakan pada 24 Ogos 1995, dengan dipengerusikan
oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Jabatan Perdana Menteri. Dalam
mesyuaratnya pada 1 April 1996, jawatankuasa telah memutuskan bahawa
pemilihan nama tidak perlu dipertandingkan, sebaliknya dipilih dari senarai namanama
yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Jawatankuasa.

Cadangan nama bendera yang dikemukakan perlu mengambilkira kriteria
yang ditetapkan iaitu nama bendera hendaklah dalam Bahasa Melayu, bersifat
emotif, iaitu yang boleh menggerakkan semangat dan kesetiaan kepada bangsa dan
negara, serta prosa-prosa yang menarik dari zaman lampau yang melambangkan
keperwiraan, kesetiaan dan lain-lain.

Pada 1 Julai 1996, Urus setia telah mengemukakan sebanyak 75 cadangan
nama beserta ulasan-ulasan dengan huraian mengenai nama-nama bendera yang
dicadangkan oleh Ahli-ahli Jawatankuasa untuk pemilihan. Dari jumlah tersebut, tiga
nama telah disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri
Setia Negara. Walaubagaimanapun,Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 11
September 1996, telah menolak ketiga-tiga nama tersebut kerana nama-nama yang
dicadangkan itu tidak mempunyai kaitan atau huraian perihal bendera itu sendiri dan
bersetuju agar cadangan nama baru dikemukakan.

Susulan dari itu, pihak Urus setia telah menerima sebanyak 28 cadangan
nama baru daripada Ahli Jawatankuasa untuk dipertimbangkan. Antara nama-nama
yang dicadangkan ialah Rukun, Malaysia Raya, Jalur Citra Nusa, Jalur Padu Nusa,
Jogan Nasional, Jalur Satria Negara, Jalur Nusa Gemilang, Jalur Sinar Gemilang,
N.U.S.A., Sang Perkasa Wangsa, Mega Sakti, Jalur Gemilang, Saga Merah dan
Wirawan Jaya. Dalam mesyuaratnya yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha
Negara pada 2 Jun 1997, Ahli Jawatankuasa telah memilih tiga nama mengikut
keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang
untuk dikemukakan kepada Jemaah Menteri.

Jemaah Menteri akhirnya telah memutuskan untuk memilih Jalur Gemilang
sebagai nama baru bagi bendera Malaysia. Nama Jalur Gemilang telah dicadangkan
oleh Redzuan Tumin, Pegawai daripada Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti. Jalur
Gemilang membawa maksud empat belas jalur merah dan putih yang terdapat pada
bendera Malaysia melambangkan empat belas buah negeri yang bergerak selari dan
searah untuk mencapai satu wawasan yang sama iaitu kegemilangan. Lambang
bulan dan bintang yang terdapat pada bendera ini juga boleh diertikan sebagai
lambang gilang gemilang yang sentiasa terpancar menjadi panduan setiap rakyat
yang bernaung dibawahnya.

Perisytiharan nama Jalur Gemilang pada Bendera Malaysia telah diadakan pada 31
Ogos 1997, jam 11.58 malam oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana
Menteri Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.


0 comments: