MyKad

MyKad merupakan sekeping kad pengenalan pintar yang digunakan di Malaysia. Bersama-sama dengan pasport, Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang menggunakan kad pengenalan dan pasport yang menggabungkan teknologi cip dan biometrik terkini untuk meningkatkan keselamatan dan kesahihan pemiliknya. Kad ini telah dilancarkan secara rasminya pada September 2001.

Perkataan ‘MyKad’ mempunyai maksud yang tersendiri. Perkataan ‘My’ bererti Malaysia dan juga kata ganti nama kepunyaanku dalam bahasa Inggeris. Perkataan ‘Kad’ pula boleh bermaksud kad ataupun singkatan kepada ‘Kad Akuan Diri’.

Fungi utama kad ini ialah sebagai kad pengenalan diri. Ia mengandungi nama, alamat, gambar, nombor kad pengenalan, jantina dan agama yang terpapar di luar kad. Dulunya digelar Kad Pintar Pelbagaiguna Kerajaan (KPPK), kad ini mempunyai satu cip mikropemproses dan ingatan EEPROM 32k / 64k yang berupaya menyimpan pelbagai data dan aplikasi di dalamnya. Contohnya adalah maklumat biometrik (cap jari / imbasan iris), lesen memandu, PKI, duit MEPS, Touch 'n Go, kad ATM, maklumat kesihatan serta maklumat pasport.

Projek MyKad ini diuruskan oleh lima agensi kerajaan, semuanya mempunyai kemudahan mencapai maklumat dalam kad tersebut:

  • Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) - jabatan utama
  • Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM)
  • Kementerian Kesihatan
  • Jabatan Imigresen

MyKad adalah wajib untuk semua warganegara bermula umur 12 tahun. Di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 (pindaan 2001), sesiapa yang gagal menunjukkan kadnya apabila diminta boleh dipenjara sehingga 3 tahun atau didenda antara RM 3,000 dan RM 20,000 atau kedua-duanya sekali. Kad ini harus diperbaharui pada umur 18 tahun.

No Kad Pengenalan

Sejak 1990, setiap warganegara Malaysia diberikan satu set nombor 12-digit yang unik dalam format TTBBHH-NN-###J sebagai nombor kad pengenalan. Kumpulan digit pertama (TTBBHH) merupakan tarikh lahir pemilik KP. Kumpulan kedua (NN) pula merupakan kod negeri lahir, iaitu 01-13 untuk negeri-negeri, 14-16 untuk Wilayah Persekutuan dan kod 71 jika lahir di luar Malaysia. Bagi anggota polis, kod yang digunakan ialah 88 manakala untuk anggota tentera, kod yang digunakan ialah 99. Namun begitu apabila seseorang anggota polis atau tentera menamatkan perkhidmatan mereka, nombor kad pengenalan mereka akan ditukar kepada kod nombor asal tempat kelahiran mereka. Kumpulan nombor terakhir (###J) merupakan nombor siri yang dijana secara rawak oleh sistem komputer Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia.

Untuk membezakan di antara pemegang MyKad lelaki dan perempuan, nombor terakhir dalam siri nombor kad pengenalan telah di sesuaikan mengikut jantina pemegang di mana sekiranya pemegang MyKad mempunyai siri nombor terakhir berangka genap, jantina pemegang adalah wanita. Manakala jika pemegang MyKad mempunyai siri nombor terakhir berangka ganjil, jantina pemegang adalah lelaki.

Sebelum 1990, nombor kad pengenalan warganegara adalah dalam bentuk A####### di mana # merupakan nombor siri 7-digit yang mana nombor terakhir dalam siri nombor tersebut turut sama mempunyai peranan pembezaan jantina lelaki dan wanita seperti sini nombor baru MyKad.

0 comments: