Perdana Menteri Malaysia Kedua

Allahyaraham Tun Abdul Razak bin Haji Dato' Hussein (11 Mac 1922 - 14 Januari 1976) merupakan Perdana Menteri Malaysia kedua yang berkhidmat dari tahun 1970 sehingga 1976. Beliau termasyhur dalam pelancaran Dasar Ekonomi Baru (1971) (NEP) yang bertujuan untuk mengatasi masalah ketidaksamaan ekonomi dan sosial yang telah membangkitkan antagonisme perkauman dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum. Selepas kematiannya, beliau telah dikenang sebagai "Bapa Pembangunan".

Kehidupan Peribada

Dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang, Allahyaraham Tun Abdul Razak merupakan anak sulung kepada Dato' Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud. Beliau keturunan bangsawan Bugis yang telah lama merupakan ketua-ketua suku kaum Pahang.

Abang ipar Abdul Razak, Tun Hussein Onn, ialah warisnya sebagai Perdana Menteri ketiga. Anak sulungnya, Najib bin Tun Haji Abdul Razak, menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dalam pentadbiran Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pada tahun 2004. Anak-anaknya yang lain ialah Datuk Ahmad Johari Razak, Mohamed Nizam, Mohamed Nazim dan Mohamed Nazir. Kini anaknya Najib bin Tun Haji Abdul Razak, secara rasmi telah menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam.

Pendidikan

Sejak di sekolah rendah lagi, Abdul Razak telah menunjukkan kepintaran dan kecemerlangan dalam bidang pelajaran dan sukan. Beliau kemudian dipilih untuk menyambung pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak.

Selepas pendidikannya tamat di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Abdul Razak bertugas dengan Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu. Pada tahun 1939, beliau ditawarkan biasiswa untuk menuntut di Kolej Raffles, Singapura pada 1940. Bagaimanapun, pendidikannya terpaksa ditamatkan sewaktu pencetusan Perang Dunia II.

Selepas peperangan, Abdul Razak pergi ke Britain pada tahun 1947 untuk belajar jurusan undang-undang. Sewaktu menuntut di England, beliau bertemu dengan Tunku Abdul Rahman yang sedang membuat percubaan yang ketiga untuk memperoleh ijazah undang-undangnya. Abdul Razak menjadi ahli Parti Buruh British dan sebagai ahli Persatuan Pelajar Melayu Britain, dipilih sebagai setiausaha di bawah Tunku yang dipilih sebagai presiden persatuan itu. Bersamping itu, Abdul Razak juga menubuhkan "Forum Malaya", sebuah wadah untuk perbincangan persoalan-persoalan politik negara untuk penuntut-penuntut Malaya. Pada tahun 1950, Abdul Razak menerima ijazahnya daripada Lincoln's Inn di London.

Kerjaya Politik

Selepas kepulangannya, Abdul Razak menyertai Perkhidmatan Awam Malaya dan bergiat dalam bidang politik. Disebabkan keupayaan politiknya, beliau dilantik menjadi ketua pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Dua tahun kemudian, Abdul Razak berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Negeri Pahang dan kemudian, pada Februari 1955, beliau menjadi Pemangku Ketua Menteri Pahang sewaktu berumur hanya 33 tahun.

Selepas memenangi pilihan raya umum yang pertama di Malaya pada Julai 1955, Abdul Razak dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Abdul Razak juga menyertai misi Februari 1956 yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman ke London untuk menuntut kemerdekaan Malaya daripada pihak British.

Selepas pilihan raya umum 1959, Abdul Razak menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar bersamping memegang portfolio Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Pencapaian-pencapaiannya yang utama termasuk perumusan dasar pembangunan yang dikenali sebagai "Buku Merah".

Selepas Peristiwa 13 Mei 1969, puaknya di dalam UMNO menggulingkan Tunku Abdul Rahman serta mengisytiharkan Keadaan Darurat dan beliau memerintah melalui dekri sehingga 1970. Pada 22 September 1970, Abdul Razak mewarisi Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

Abdul Razak termasyhur dalam pelancaran Dasar Ekonomi Baru (NEP) pada tahun 1971. Beliau dan "generasi kedua" ahli-ahli politik Melayu memperlihatkan keperluan untuk mengendalikan ketaksamaan ekonomi dan sosial yang telah membangkitkan antagonisme perkauman. NEP menetapkan dua sasaran yang asas, iaitu mengurangkan dan pada akhirnya:

  • menghapuskan kemiskinan; dan
  • menghapuskan pengenalpastian fungsi ekonomi dengan kaum.

Abdul Razak menubuhkan Barisan Nasional pada 1 Januari 1973 sebagai gantian untuk Parti Perikatan. Beliau menambahkan ahli-ahli parti untuk mengasaskan apa yang dikatanya "Ketahanan Nasional" melalui kestabilan politik.

Disebabkan sebahagian oleh penyakit leukemia, Abdul Razak meninggal pada tahun 1976 sewaktu mendapat rawatan perubatan di London, dan disemadikan di Makam Pahlawan, berdekatan dengan Masjid Negara, Kuala Lumpur. Selepas kematiannya, beliau dianugerahkan dengan gelaran Bapa Pembangunan.

Sumber : Wikipedia

1 comments: