Apa Itu Malayan Union(1)?

Malayan Union yang ditubuhkan pada 1 April 1946 selepas Perang Dunia II merupakan sebuah gabungan Negeri-Negeri Melayu dengan Negeri-Negeri Selat (tanpa Singapura) untuk menjadi pengganti British Malaya.

Rasional Pembentukan Malayan Union

Seawal 1942, kerajaan British telah menubuhkan "Unit Perancangan Tanah Melayu" di United Kingdom untuk menyediakan pembinaan semula Tanah Melayu selepas Perang Dunia II tamat. Unit perancangan tersebut dinamakan sebagai Malayan Planning Unit (MPU) dan Diketuai oleh Mejar-General Ralph Hone.Hone diberi tugas untuk merangka satu bentuk pentadbiran baru untuk Tanah Melayu selepas perang tamat.Akhirnya selepas semua perbincangan berlaku maka cadangan untuk mencadangkan penggabungan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu, Pulau Pinang, dan Melaka menjadi Malayan Uniondiusulkan , sedangkan Singapura dikekalkan sebagai tanah jajahan yang berasingan.

Rancangan Malayan Union mengekalkan Singapura sebagai suatu tanah jajahan yang berasingan disebabkan ketakutan bahawa penentangan orang Melayu terhadap penyertaan Singapura akan menjejaskan penerimaan rancangan tersebut. Terdapat kesangsian tradisional di kalangan peniaga-peniaga Tanah Melayu bahawa sektor perniagaan Singapura akan menjejaskan kepentingan mereka. Selain itu, pihak British juga takut bahawa pemasukan dasar kewarganegaraan yang liberal akan mengakibatkan ketakutan pemimpin-pemimpin Melayu disebabkan bilangan orang Cina Singapura yang besar. Bagaimanapun, kerajaan British juga hendak menjadikan Singapura sebagai sebuah pangkalan tentera laut untuk operasi strateginya di Timur Jauh.Namun begitu tujuan utama British mengecualikan penyertaan singapura kedalam Malayan Union adalah disebabkan oleh kepentingan ekonominya di Singapura, kedududkan strategik Singapura sebagai pelabuhan dan Pelbagai lagi faktor yang berteraskan kepada kegiatan ekonomi mendorong pihak British untuk mengekalkan singapura sebagai kononnya Tanah jajahan London.

Kebanyakan buku-buku Inggeris menyatakan salah satu daripada sebab utama untuk pembentukan 'Malayan Union' ialah hasrat kerajaan British untuk menyediakan Tanah Melayu terhadap kemerdekaan. Ia dilihat sebagai satu kewajaran kerana pihak British telah pun menandatangani Piagam Atlantik pada 14 Ogos 1941 yang mengisytiharkan bahawa semua negara-negara dunia berhak untuk menentukan dan memerintah negara sendiri dalam erti kata lain 'Merdeka', Maka, pihak Britain terikat untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Bagaimanapun, banyak pihak di Tanah Melayu ketika itu mempercayai bahawa rancangan itu hanya menukarkan taraf negeri-negeri Melayu daripada sebuah negeri naungan menjadi sebuah tanah jajahan British. Di mana ia dilihat sebagai satu usaha untuk memanjangkan lagi tempoh penjajahan British di Tanah Melayu dengan cara berpura-pura berusaha untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu, sedangkan kuasa pemerintah Tanah Melayu ketika itu, iaitu sultan-sultan telah pun dilucutkan melalui pembentukan Malayan Union.

Butiran Utama Malayan Union

Rancangan Malayan Union yang akan melibatkan Negeri-Negeri Selat, tetapi tidak termasuk Singapura, akan terdiri daripada Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Sultan-sultan Melayu masih akan mengekalkan kedudukan masing-masing tetapi dalam bidang kuasa yang sangat terhad, iaitu berkaitan tentang agama Islam dan adat Istiadat orang Melayu sahaja. Sebaliknya pihak British akan terus memerintah melalui sebuah majlis penasihat yang diluluskan oleh gabenor Malayan Union. Kerajaan Malayan Union akan mengambil alih semua aset negeri-negeri Melayu, kecuali aset yang berkaitan dengan agama Islam dan harta peribadi sultan-sultan. Di Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai sultan, Pesuruhjaya Residen akan menjadi ketua pentadbiran. Beliau diberi banyak kuasa dan hanya bertanggungjawab kepada Gabenor. Ini sekaligus menunjukan kedaulatan British di Tanah Melayu. Di mana pihak British bertindak mengawal semua perkara mengenai Tanah Melayu. Dan mereka lebih berkuasa berbanding sebelum pendudukan Jepun.

Skim Malayan Union juga mencadangkan undang-undang baru yang memberikan kewarganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura, serta pendatang yang tinggal di sana selama sekurang-kurang 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942. Semua warganegara Malayan Union yang baru itu akan mempunyai hak-hak yang sama, termasuk penerimaan masuk untuk perkhidmatan awam. Akhir sekali, kewarganegaran Tanah Melayu diberikan kepada semua tanpa diskriminasi kaum dan kepercayaan atau pun turut dikenali sebagai 'jus soli'.

Akan bersambung................

0 comments: