|
Showing posts with label Kentalnya Semangat Patriotisme. Show all posts
Showing posts with label Kentalnya Semangat Patriotisme. Show all posts
Bersabung Nyawa Menentang Komunis0 comments
KEMERDEKAAN membawa seribu satu makna kepada setiap insan. Ada yang menyifatkan ia sebagai berakhirnya episod penjajahan dan penghinaan kepada bangsa.
Ada juga yang menyifatkan sebagai saat pembebasan kepada apa yang telah membelenggu kehidupan mereka sebelum ini. Bagi mereka yang cetek semangat dan pengetahuan, kemerdekaan hanyalah satu hari bercuti dan berehat, sama seperti hari cuti lain. Itu antara makna yang diketahui umum tentang kemerdekaan. Namun bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam memastikan saat yang diraikan itu menjadi kenyataan, kemerdekaan bukan sekadar kebebasan semata-mata. Makna yang tersirat di sebalik kemerdekaan itu terlalu besar dan bermakna. Kemerdekaan bagi mereka adalah satu pengorbanan dan maruah bangsa. Kerana merdeka, nyawa sanggup dipertaruhkan. Kerana merdeka keluarga dan harta sanggup ditinggalkan. Oleh itu, tidak menghairankan bagi mereka yang menyaksikan keperitan memperjuangkan kemerdekaan, makna hari keramat itu cukup besar dan bermakna buat mereka. Bagi bekas anggota tentera, Lans Koperal Mohd. Isman Jumingan, 55, Hari Kemerdekaan akan mengingatkan beliau kepada satu peristiwa yang hampir meragut nyawanya. Peristiwa yang berlaku pada 27 Julai 1969 di sebuah kawasan berhampiran Sungai Badak dalam wilayah Sintok, meninggalkan kesan mendalam kepadanya. Peristiwa "Selagi parut di perut ini masih kelihatan, selagi itulah keperitan dalam memerdekakan tanah air daripada ancaman pengganas komunis tidak akan luput dari ingatan," tegasnya ketika ditemui di kediamannya di Padang Balang, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Beliau mempunyai alasan tersendiri untuk berasa marah dan geram terhadap insiden itu. Selain dirinya cedera, beliau juga kehilangan enam rakan sepasukan yang gugur ketika dalam serang hendap itu. Menyorot kembali peristiwa itu, Mohd. Isman berkata, kejadian berlaku semasa beliau berkhidmat dengan Batalion Ke-4, Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD). Beliau bersama tujuh anggota yang diketuai oleh Koperal Ahmad Hussain (Allahyarham) dari Kompeni A ditugaskan membuat rondaan menjejaki pengganas komunis di kawasan lombong bijih Sungai Badak, Sintok, Kedah. "Kami yang bertugas di Bukit Kayu Hitam ketika itu telah diarah menyusuri gerak pengganas pada kira-kira pukul 7 pagi di hutan Sintok selepas mendapat laporan seorang wanita Cina mati dibunuh," kata Mohd. Isman. Kira-kira pukul 2 petang, pasukan itu bergerak kembali ke markas sementara yang terletak tidak jauh dari perkampungan Sungai Badak. Merasai ada sesuatu yang tidak kena, ketua platun, Ahmad Husin mengarahkan mereka bergerak dalam posisi berjaga-jaga dan menjarakkan kedudukan di antara satu sama lain. Setibanya di jambatan yang merintangi Sungai Badak, suasana menjadi senyap secara tiba-tiba. Sebaik dua anggota (Allahyarham Prebet Khalid dan Mohd. Isman) melintasi jambatan itu, satu das tembakan kedengaran memecah kedamaian petang itu. Ia kemudiannya disusuli tembakan bertalu-talu dari arah depan dan belakang tebing bukit termasuk di seberang sungai. Menurut Mohd. Isman, tembakan pertama mengena Khalid. "Saya melihat Khalid jatuh sambil cuba membalas tembakan. Pada masa sama kami juga cuba membalas tembakan itu. Tetapi tembakan dari atas bukit itu terlalu banyak dan semuanya berlaku dengan pantas," ceritanya. Menurut Mohd. Isman, tidak lama selepas melihat Khalid jatuh, satu das tembakan terasa menembusi perut sebelah kirinya. Terbujur "Terasa pedih yang amat sekali. Tembakan itu juga menyebabkan saya terpelanting ke belakang. Oleh kerana saya berada di tepi tebing sungai maka saya terus terjatuh dalam sungai. "Selepas itu saya tidak nampak apa yang berlaku di atas jambatan. Saya berselindung di tebing sungai sepanjang malam sebelum keluar pada keesokan paginya. "Apabila saya keluar dan merangkak naik semula ke atas tebing saya melihat empat mayat terbujur atas jalan. "Dua rakan lain yang masih hidup cuba untuk mengalihkan mayat tersebut namun sebaik sahaja mayat itu diangkat satu letupan kuat berlaku sehingga mengorbankan kedua-duanya," cerita Mohd. Isman lagi. Pasukan bantuan sampai pada pukul 12 tengah hari dan Mohd. Isman kemudiannya dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk mendapatkan rawatan lanjut. Beliau kembali ke Kem Majidee, Johor Bahru apabila unit 4 RAMD yang ditugaskan di utara Semenanjung diarah kembali ke markas pusat batalion berkenaan di Johor. Perasaan Mohd. Isman bertambah terharu apabila beliau berkesempatan melawat semula ke Sungai Badak baru-baru ini, tempat beliau dan rakannya diserang hendap oleh pengganas komunis. Lawatan itu dianjurkan sempena sambutan Hari Patriotik Universiti Utara Malaysia. Sementara itu seorang lagi bekas anggota tentera, Pegawai Waran II, S. Rajagopal mempunyai pengalaman tersendiri dalam menyahut seruan menentang ancaman pengganas komunis. Beliau tidak dapat menyembunyikan kesedihannya apabila kehilangan beberapa rakan dalam pasukan Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja 8. Ini termasuklah dua sahabat karib yang bertindak sebagai 'buddy' beliau dalam operasi itu. "Kematian berpuluh-puluh pengganas komunis hanya perkara 'kecil' jika dibandingkan dengan kehilangan walaupun seorang anggota tentera," ujarnya. Mejar (B) Kamaruddin Mohd. Jamal pula pernah menyaksikan seorang anggota menghembus nafas terakhir ketika dalam pangkuannya. Kejadian di hutan Pradin, Pontian, Johor itu berlaku selepas platun yang diketuai Kamaruddin diserang hendap Tentera Nasional Indonesia (TNI) ketika konfrontasi Indonesia-Malaysia pada tahun 1964-1966.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Arkib Seminggu
Maklumat Berguna
Fakta Menarik Tentang MalaysiaTentang Jalur GemilangSenarai Perdana Menteri MalaysiaMaksud Bendera NegeriSenarai Menteri Di Setiap Negeri
1) Menteri Besar Johor 2) Menteri Besar Kedah 3) Menteri Besar Kelantan 4) Menteri Besar Negeri Sembilan 5) Menteri Besar Pahang 6) Menteri Besar Perak 7) Menteri Besar Selangor 8) Menteri Besar Terengganu 9) Menteri Wilayah Persekutuan 10) Ketua Menteri Melaka 11) Ketua Menteri Pulau Pinang 12) Ketua Menteri Sabah 13) Ketua Menteri Sarawak
Maksud Jata Negeri
1) Jata Negeri Johor 2) Jata Negeri Kedah 3) Jata Negeri Kelantan 4) Jata Negeri Melaka 5) Jata Negeri Pahang 6) Jata Negeri Perak 7) Jata Negeri Perlis 8) Jata Negeri Pulau Pinang 9)Jata Negeri Sabah 10) Jata Negeri Selangor 11) Jata Negeri Sembilan 12) Jata Negeri Serawak 13) Jata Negeri Terengganu
Lagu Dan Lirik Negeri
1) Lagu Dan Lirik Negeri Johor 2) Lagu Dan Lirik Negeri Kedah 3) Lagu Dan Lirik Negeri Kelantan 5) Lagu Dan Lirik Negeri Melaka 6) Lagu Dan Lirik Negeri Pahang 7) Lagu Dan Lirik Negeri Perak 8) Lagu Dan Lirik Negeri Perlis 9) Lagu Dan Lirik Negeri Pulau Pinang 10) Lagu Dan Lirik Negeri Sabah 11) Lagu Dan Lirik Negeri Sarawak 12) Lagu Dan Lirik Negeri Selangor 13) Lagu Dan Lirik Negeri Sembilan 14) Lagu Dan Lirik Negeri Terengganu
Lirik Lagu-lagu Patriotik
1) Negaraku 2) Tanggal 31 3) Malaysia Berjaya 4) Tegakkan Bendera Kita 5) Kami Anak Malaysia 6) Di Hari Penghabisan 7) Bumi Malaysia 8) Jalur Gemilang 9) Dirgahayu Tanahair Ku 10) Fikirkan Boleh 11) Ilham Pujangga 12) Kemegahan Negaraku 13) Keranamu Malaysia 14) Malaysia Baru 15) Malaysia Berjaya 16) 1Malaysia
Logo Dan Tema Hari Kemerdekaan MalaysiaTokoh-tokoh MalaysiaPejuang KemerdekaanDownload Lagu Patriotik
Detik KemerdekaanPencapaian Malaysia Setelah MerdekaDengar Radio OnlinePuisi Dan Sajak1 Malaysia
Tinggalkan Mesej Anda Di Sini |



