MyKad0 comments
MyKad merupakan sekeping kad pengenalan pintar yang digunakan di Malaysia. Bersama-sama dengan pasport, Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang menggunakan kad pengenalan dan pasport yang menggabungkan teknologi cip dan biometrik terkini untuk meningkatkan keselamatan dan kesahihan pemiliknya. Kad ini telah dilancarkan secara rasminya pada September 2001.
Perkataan ‘MyKad’ mempunyai maksud yang tersendiri. Perkataan ‘My’ bererti Malaysia dan juga kata ganti nama kepunyaanku dalam bahasa Inggeris. Perkataan ‘Kad’ pula boleh bermaksud kad ataupun singkatan kepada ‘Kad Akuan Diri’. Fungi utama kad ini ialah sebagai kad pengenalan diri. Ia mengandungi nama, alamat, gambar, nombor kad pengenalan, jantina dan agama yang terpapar di luar kad. Dulunya digelar Kad Pintar Pelbagaiguna Kerajaan (KPPK), kad ini mempunyai satu cip mikropemproses dan ingatan EEPROM 32k / 64k yang berupaya menyimpan pelbagai data dan aplikasi di dalamnya. Contohnya adalah maklumat biometrik (cap jari / imbasan iris), lesen memandu, PKI, duit MEPS, Touch 'n Go, kad ATM, maklumat kesihatan serta maklumat pasport. Projek MyKad ini diuruskan oleh lima agensi kerajaan, semuanya mempunyai kemudahan mencapai maklumat dalam kad tersebut:
MyKad adalah wajib untuk semua warganegara bermula umur 12 tahun. Di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 (pindaan 2001), sesiapa yang gagal menunjukkan kadnya apabila diminta boleh dipenjara sehingga 3 tahun atau didenda antara RM 3,000 dan RM 20,000 atau kedua-duanya sekali. Kad ini harus diperbaharui pada umur 18 tahun. No Kad Pengenalan Sejak 1990, setiap warganegara Malaysia diberikan satu set nombor 12-digit yang unik dalam format TTBBHH-NN-###J sebagai nombor kad pengenalan. Kumpulan digit pertama (TTBBHH) merupakan tarikh lahir pemilik KP. Kumpulan kedua (NN) pula merupakan kod negeri lahir, iaitu 01-13 untuk negeri-negeri, 14-16 untuk Wilayah Persekutuan dan kod 71 jika lahir di luar Malaysia. Bagi anggota polis, kod yang digunakan ialah 88 manakala untuk anggota tentera, kod yang digunakan ialah 99. Namun begitu apabila seseorang anggota polis atau tentera menamatkan perkhidmatan mereka, nombor kad pengenalan mereka akan ditukar kepada kod nombor asal tempat kelahiran mereka. Kumpulan nombor terakhir (###J) merupakan nombor siri yang dijana secara rawak oleh sistem komputer Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia. Untuk membezakan di antara pemegang MyKad lelaki dan perempuan, nombor terakhir dalam siri nombor kad pengenalan telah di sesuaikan mengikut jantina pemegang di mana sekiranya pemegang MyKad mempunyai siri nombor terakhir berangka genap, jantina pemegang adalah wanita. Manakala jika pemegang MyKad mempunyai siri nombor terakhir berangka ganjil, jantina pemegang adalah lelaki. Sebelum 1990, nombor kad pengenalan warganegara adalah dalam bentuk A####### di mana # merupakan nombor siri 7-digit yang mana nombor terakhir dalam siri nombor tersebut turut sama mempunyai peranan pembezaan jantina lelaki dan wanita seperti sini nombor baru MyKad. Senarai Raja Permaisuri Agong Malaysia0 comments
Senarai Projek Mega Malaysia Mengikut Tahun0 comments
1957 - 1963
Apa Itu Malayan Union(2)?0 comments
Peringkat Memperkenalkan Malayan Union
Cadangan untuk rancangan Malayan Union diumumkan oleh Edward Gent, Penolong Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah Jajahan British, buat pertama kali di Parlimen United Kingdom pada Januari 1944. Wilayah-wilayah Borneo juga dimasukkan dalam rancangan yang asal tetapi kemasukan itu kemudian dikeluarkan daripada cadangan yang terakhir kerana ketidaksediaan pihak kerajaan Borneo yang pada masa itu dan masih lagi berada dalam keadaan yang kurang stabil. Pada musim bunga 1944, Pejabat Kolonial menjemput Sir Harold MacMichael, untuk pergi ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan daripda raja-raja Melayu. Sir Harold Macmicheal bukanlah seorang yang arif tentang Tanah Melayu, beliau tidak pernah berkhidmat di Tanah Melayu. Tetapi kerajaan British yang kerap menerima maklumat salah mengenai Tanah Melayu dan orang Melayu percaya bahawa Sir MacMicheal pernah berkenalan baik dengan beberapa putera-putera dari Tanah Melayu.Pemerintahan Tentera British (BMA) merupakan masa yang paling sesuai bagi MacMichael untuk mendapatkan tandatangan daripada Raja-raja Melayu kerana keadaan ketenteraan amat sesuai dijadikan asas ugutan untuk mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu.Beliau hanya mengambil masa selama 22 hari untuk mendapatkan tandatangan daripada kesemua pemerintah Tanah Melayu hasil daripada ugutan yang amat bersesuaian dengan keadaan pada masa itu. Pada 3 September 1945 , ketika pihak British sedang menjalani pendudukan semula di Tanah Melayu, Kabinet British memberikan kebenaran untuk dasar Tanah Melayu yang baru dan bersetuju dengan misi MacMichael. Memperoleh tandatangan daripada sultan-sultan tidak sebegitu susah seperti yang dijangka. Mac Michael telah bertindak memaksakan sultan-sultan Melayu untuk menerima cadangan-cadangan pihak British dan tidak memberikan masa untuk baginda-baginda berunding dengan majlis masing-masing, malah Sultan yang enggan menandatangani perjanjian tersebut diugut akan digantikan dengan sultan yang lain di atas tuduhan bekerjasama dengan Jepun semasa Perang Dunia II. Pada 21 Disember, setiap Sultan atau Pemangku Raja telah memeterai perjanjian yang baru dengan Sir Harold MacMicheal. Bagaimanapun, sebilangan daripada sultan-sultan itu menyatakan keraguan terhadap syarat-syarat perjanjian itu, tetapi disebabkan oleh ugutan yang mendakwa pe baginda-baginda sultan memainkan peranan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu telah memaksa sultan-sultan itu untuk merelakan Malayan Union untuk menunjukkan kesetiaan mereka kepada pihak British dan mereka juga bimbang akan kehilangan tahta. Tanpa disedari oleh sultan-sultan ini ialah semua perjanjian terdahulu yang mengakui hak kedaulatan sultan-sultan Melayu dimansuhkan. Dengan itu, kepura-puraan pihak British bahawa mereka ingin membantu sultan-sultan Melayu untuk memerintah dihapuskan. Setelah menerima perjanjian-perjanjian itu, pihak British mendedahkan rancangan Malayan Union dalam suatu Kertas Putih pada akhir bulan Januari 1946.berserta Kertas Putih satu lagi usul telah dikeluarkan iaitu pembatalan undang-undang NNS & NNMB yang wujud sebelum ini dan digantikan dengan kesatuan Malaya yang Baru iaitu Malayan Union. Tindak Balas Daripada Kaum Melayu Bertentangan dengan jangkaan British, penduduk Melayu, yang biasanya bersikap lemah lembut dan sering boleh di arah untuk melakukan itu dan ini telah bangun bersama-sama untuk membantah skim yang baru itu. Komuniti Cina dan India juga tidak ghairah dan telah mengkritik sesetengah peruntukan yang terdapat di dalam kertas putih Malayan Union. Pemimpin-pemimpin Melayu dan pesara-pesara British daripada Perkhidmatan Awam di Tanah Melayu telah mengetuai bidasan terhadap rancangan Malayan Union, dan membidas MacMichael kerana menggunakan 'ugutan' untuk memperolehi persetujuan daripada sultan-sultan Melayu. Pegawai-pegawai ini bertindak meLobi Tanah Melayu di Parlimen antara bekas pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Tanah Melayu yang mengambil bahagian adalah Frank Swettenham, George Maxwell, R. O. W. Winstedt, Cecil Clementi dan Laurence Guillemard. Mereka turut menulis surat-surat kepada akhbar nasional dan untuk merayu kepada Perdana Menteri United Kingdom agar menghentikan usaha menukar status Tanah Melayu daripada negeri naungan kepada tanah jajahan. Kegiatan seumpama ini mewujudkan tanggapan bahawa terdapat tentangan yang hebat terhadap Malayan Unionbukan sahaja daripada penduduk Tanah Melayu malahan daripada pegawai dalaman British sendiri. Sultan-sultan Tanah Melayu juga telah terpengaruh oleh perasaan anti Malayan Union yang dianjurkan oleh pegawai-pegawai Melayu dan rakyat Melayu. ini mengheret baginda sultan untuk membantah secara terbuka terhadap cara yang digunakan oleh MacMichael untuk memperoleh tandatangan baginda-baginda untuk perjanjian baru itu. Sultan-sultan tersebut menolak rancangan Malayan Union dan cadangan untuk menghantar sutu perwakilan ke London untuk memansuhkan rancangan itu telah disuarakan. Bagaimanapun, sudut pandangan orang Melayu disampaikan dengan lebih berkesan selepas penubuhan UMNO atau PEKEMBAR yang telah muncul untuk menyuarakan bantahan Melayu terhadap Malayan Union. Pihak British sangat terperanjat dengan perubahan sikap masyarakat Melayu. Selepas pendudukan Jepun orang-orang Melayu telah sedar bahawa pihak British tidaklah sekuat yang di sangka, ditambah pula oleh semangat untuk merdeka yang bertiup kencang dari tanah seberang (Indonesia). Di atas kesedaran inilah Orang-orang Melayu telah bangun bersama-sama untuk menentang cadangan pihak British. Tindakan yang kemas telah dilancarkan melalui UMNO. Negeri-negeri Melayu yang selama ini terpisah dan tidak bersatu telah bangun bersama-sama, malahan sultan-sultan negeri-negeri Melayu juga turut bersama-sama bergabung dengan rakyat Melayu untuk menentang Malayan Union. Satu perkara yang tidak pernah terjadi di Tanah Melayu sebelumnya. Perjuangan orang-orang Melayu tidak terhenti setakat itu sahaja, orang Melayu turut mengadakan ceramah-ceramah umum di seluruh semenanjung untuk menyedarkan masyarakat Melayu di kampung-kampung. Selepas menerima tekanan yang begitu kuat, pihak British yang masih ingin meneruskan Malayan Union mencadangkan satu jawatankuasa dihantar untuk melihat reaksi masyarakat Melayu. Ahli jawatankuasa tersebut telah terkejut melihat reaksi yang amat kuat dari orang melayu untuk menghentikan Malayan Union. di mana sahaja mereka pergi pasti disambut dengan ribuan umat melayu dengan slogan-slogan anti Malayan Union. Malahan mereka dan Gabenor Malayan Union ketika itu turut bersimpati dengan orang-orang Melayu. Pada akhir lawatan tersebut, ahli jawatankuasa terbabit telah mengambarkan sesuatu yang positif di dalam ucapan mereka. Ramai orang melayu dan UMNO sendiri yakin bahawa Malayan Union akan berkubur. Penubuhan UMNO Pada 1 Mac 1946, sebuah Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress) diadakan di di Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur. Disertai oleh kira-kira 200 orang wakil Melayu daripada 41 buah persatuan, kongres itu membincangkan pembentukan gerakan nasional Melayu, serta kempen terselaras untuk menentang Malayan Union. Sebuah jawatankuasa dilantik untuk mendraf perlembagaan untuk penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Pada 1 Mei 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru. Dalam kongres itu, pembentukan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dipilih sebagai Presiden pertama. Kongres itu juga mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan mendesak bahawa Malayan Union dimansuhkan. Pelaksanaan Malayan Union Meskipun penentangan orang-orang Melayu begitu hebat, kerajaan British enggan menarik balik pelakasanaan rancangan Malayan Union. Sebaliknya, kerajaan British mendesak bahawa Malayan Union dilaksanakan dengan segera supaya Pentadbiran Tentera British yang memerintah Tanah Melayu sejak akhir Pendudukan Jepun dapat dibatalkan. Malayan Union diisytiharkan pada 1 April 1946 dengan Edward Gent merupakan Gabernor yang pertama. Bagaimanapun, penentangan terhadap Malayan Union adalah sangat kuat sehingga rancangan itu tidak dapat dikuatkuasakan dengan sepenuhnya. Malah pada majlis perlantikan Edward Gent sebagai Gabernor yang pertama majlis tersebut telah dipulau oleh sultan-sultan Melayu. Ia adalah kesan daripada tindakan orang-orang Melayu yang telah berhimpun di luar rumah tumpangan yang didiami oleh sultan-sultan Melayu yang ingin menghadiri ucapara perlantikan tersebut. Ketika itu Orang-orang melayu telah bertindak berkabung dengan cara melilit kain putih pada songkok. Orang-orang Melayu yang berkumpul itu telah menghantar wakil mereka iaitu Dato' Onn Jaafar untuk berunding dengan sultan-sultan agar turut memulaukan upacara tersebut. Melihatkan sokongan rakyat yang begitu kuat mempertahankan tahta mereka, telah menyedarkan sekelian baginda sultan untuk turut berjuang bersama-sama rakyat jelata untuk menggagalkan Malayan Union. Akhirnya,Malayan Union dibatalkan pada 1 Februari 1948 selepas itu untuk mengantikan Malayan Union yang telah gagal itu pihak British terpaksa menurut kehendak masyarakat Melayu yang bertindak melalui UMNO untuk mengwujudkan Persekutuan Tanah Melayu . Penggantian konsep Persekutuan Tanah Melayu yang baru itu dengan skim Malayan Union yang tidak popular dicapai, melalui perundingan antara pihak British, sultan-sultan Melayu dan UMNO. Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu merupakan suatu kemenangan untuk orang-orang Melayu tetapi disambut dengan kecewa oleh beberapa golongan-golongan di dalam etnik yang lain. Bagaimanapun, mereka yang menentang cadangan Persekutuan tidak mempunyai sokongan di Tanah Melayu sendiri. Serta lobi Parlimen dan penyokong-penyokong di London yang telah membantu dalam pembatalan skim Malayan Union. Orang-orang Cina yang berada di Tanah Melayu berasa dikhianati kerana mereka tahu jumalah orang Cina yang terkorban lebih besar berbanding orang Melayu, sepanjang peperangan dengan Jepun. Sesetengah daripada orang Cina yang tidak puas hati kini melihat Parti Komunis Malaya sebagai harapan yang tunggal untuk mencapai sebuah kemerdekaan. Ini didasari oleh pendapat pihak British telah meminggirkan masyarakat cina Tanah Melayu. Apa Itu Malayan Union(1)?0 comments
Malayan Union yang ditubuhkan pada 1 April 1946 selepas Perang Dunia II merupakan sebuah gabungan Negeri-Negeri Melayu dengan Negeri-Negeri Selat (tanpa Singapura) untuk menjadi pengganti British Malaya.
Rasional Pembentukan Malayan Union Seawal 1942, kerajaan British telah menubuhkan "Unit Perancangan Tanah Melayu" di United Kingdom untuk menyediakan pembinaan semula Tanah Melayu selepas Perang Dunia II tamat. Unit perancangan tersebut dinamakan sebagai Malayan Planning Unit (MPU) dan Diketuai oleh Mejar-General Ralph Hone.Hone diberi tugas untuk merangka satu bentuk pentadbiran baru untuk Tanah Melayu selepas perang tamat.Akhirnya selepas semua perbincangan berlaku maka cadangan untuk mencadangkan penggabungan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu, Pulau Pinang, dan Melaka menjadi Malayan Uniondiusulkan , sedangkan Singapura dikekalkan sebagai tanah jajahan yang berasingan. Rancangan Malayan Union mengekalkan Singapura sebagai suatu tanah jajahan yang berasingan disebabkan ketakutan bahawa penentangan orang Melayu terhadap penyertaan Singapura akan menjejaskan penerimaan rancangan tersebut. Terdapat kesangsian tradisional di kalangan peniaga-peniaga Tanah Melayu bahawa sektor perniagaan Singapura akan menjejaskan kepentingan mereka. Selain itu, pihak British juga takut bahawa pemasukan dasar kewarganegaraan yang liberal akan mengakibatkan ketakutan pemimpin-pemimpin Melayu disebabkan bilangan orang Cina Singapura yang besar. Bagaimanapun, kerajaan British juga hendak menjadikan Singapura sebagai sebuah pangkalan tentera laut untuk operasi strateginya di Timur Jauh.Namun begitu tujuan utama British mengecualikan penyertaan singapura kedalam Malayan Union adalah disebabkan oleh kepentingan ekonominya di Singapura, kedududkan strategik Singapura sebagai pelabuhan dan Pelbagai lagi faktor yang berteraskan kepada kegiatan ekonomi mendorong pihak British untuk mengekalkan singapura sebagai kononnya Tanah jajahan London. Kebanyakan buku-buku Inggeris menyatakan salah satu daripada sebab utama untuk pembentukan 'Malayan Union' ialah hasrat kerajaan British untuk menyediakan Tanah Melayu terhadap kemerdekaan. Ia dilihat sebagai satu kewajaran kerana pihak British telah pun menandatangani Piagam Atlantik pada 14 Ogos 1941 yang mengisytiharkan bahawa semua negara-negara dunia berhak untuk menentukan dan memerintah negara sendiri dalam erti kata lain 'Merdeka', Maka, pihak Britain terikat untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Bagaimanapun, banyak pihak di Tanah Melayu ketika itu mempercayai bahawa rancangan itu hanya menukarkan taraf negeri-negeri Melayu daripada sebuah negeri naungan menjadi sebuah tanah jajahan British. Di mana ia dilihat sebagai satu usaha untuk memanjangkan lagi tempoh penjajahan British di Tanah Melayu dengan cara berpura-pura berusaha untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu, sedangkan kuasa pemerintah Tanah Melayu ketika itu, iaitu sultan-sultan telah pun dilucutkan melalui pembentukan Malayan Union. Butiran Utama Malayan Union Rancangan Malayan Union yang akan melibatkan Negeri-Negeri Selat, tetapi tidak termasuk Singapura, akan terdiri daripada Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Sultan-sultan Melayu masih akan mengekalkan kedudukan masing-masing tetapi dalam bidang kuasa yang sangat terhad, iaitu berkaitan tentang agama Islam dan adat Istiadat orang Melayu sahaja. Sebaliknya pihak British akan terus memerintah melalui sebuah majlis penasihat yang diluluskan oleh gabenor Malayan Union. Kerajaan Malayan Union akan mengambil alih semua aset negeri-negeri Melayu, kecuali aset yang berkaitan dengan agama Islam dan harta peribadi sultan-sultan. Di Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai sultan, Pesuruhjaya Residen akan menjadi ketua pentadbiran. Beliau diberi banyak kuasa dan hanya bertanggungjawab kepada Gabenor. Ini sekaligus menunjukan kedaulatan British di Tanah Melayu. Di mana pihak British bertindak mengawal semua perkara mengenai Tanah Melayu. Dan mereka lebih berkuasa berbanding sebelum pendudukan Jepun. Skim Malayan Union juga mencadangkan undang-undang baru yang memberikan kewarganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura, serta pendatang yang tinggal di sana selama sekurang-kurang 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942. Semua warganegara Malayan Union yang baru itu akan mempunyai hak-hak yang sama, termasuk penerimaan masuk untuk perkhidmatan awam. Akhir sekali, kewarganegaran Tanah Melayu diberikan kepada semua tanpa diskriminasi kaum dan kepercayaan atau pun turut dikenali sebagai 'jus soli'. Akan bersambung................ Semangat Juang Panglima Rentap0 comments
Rentap merupakan seorang pahlawan Dayak (Iban) terkenal dalam sejarah Sarawak. Dia merupakan salah seorang pemimpin penentang kepada pemerintahan Raja Putih Brooke.
Pada tahun 1853 Rentap telah mengetuai pasukan orang Iban yang menyerang pasukan British di Skrang yang diketuai oleh William Brereton. Rentap adalah seorang panglima perang orang Iban yang tinggal di ulu Sungai Sekrang. Rentap yang menjadi ketua orang Iban telah menentang pemerintahan Brooke kerana Brooke merancang membanteras amalan kutipan cukai oleh ketua-ketua tempatan yang dianggap lanun olehnya, sedangkan ia merupakan sumber pendapatan tradisi ketua-ketua tempatan. Brooke turut juga mengganggu cara hidup tradisional orang Iban yang mengamalkan kegiatan memotong kepala dengan beberapa pembaharuan. Justeru itu pada tahun 1853, Rentap bersama pasukannya menyerang kubu-kubu di Sungai Skrang. Pihak British telah diserang hendap oleh orang-orang Rentap. Berlakulah pertempuran yang sengit di antara kedua-dua pihak. akibat pertempuran itu seorang menantu Rentap bernama Layang telah membunuh Alan Lee dengan lembingnya. Rentap dengan segera membawa pasukannya pulang ke ulu Sungai Sekrang. Dalam pertempuran itu pihak British berundur ke pangkalan Merak dan ini menyebabkan Rentap semakin dihormati oleh pengikutnya. Walau bagaimanapun pengikut Brooke telah membinasa dan membakar 20 buah rumah panjang tempat kediaman Rentap. Dengan itu Rentap terpaksa berundur dan membina tempat kediaman di sungai Lang iaitu di ulu Sungai Skrang. Namun angkatan Brooke berjaya menyerang rumah panjang Rentap dan ia dengan sebilangan pengikut berundur dan membina kubu di sebuah bukit bernama Bukit Sadok. Mulai dari tahun 1875, kerajaan Brooke telah membuat tiga percubaan untuk menangkap Rentap. Namun pada tahun 1861 barulah mereka berjaya menguasai Bukit Sadok setelah membawa beberapa buah meriam. Kubu-kubu dan rumah-rumah tempat kediaman Rentap dan orang-orangnya habis dibakar oleh kerajaan Brooke pada 20 oktober 1861. Rentap kemudian berundur ke Ulu Entabai. Kemudian Rentap dan pengikutnya berpindah ke Bukit Sibau iaitu kawasan yang terletak di Ulu Wak, Pakan. Beberapa tahun kemudian, Rentap meninggal dunia di situ. Sehingga ke hari ini makam pahlawan Rentap telah di baik pulih oleh kerajaan negeri Sarawak bagi mengenang jasanya. Rosli Dhoby Pejuang Kebebasan Sarawak0 comments
Berlatarkan sekitar tahun 1949, seorang remaja Melayu telah membunuh Gabenor British ke Sibu bernama Duncan George Stewart yang membawa hukuman gantung sampai mati. Namun nama Rosli Dhoby mungkin tidak sehebat Rentap atau Mat Salleh. Namun semangat patriotiknya tidak dapat disangkal sesiapa. Anak-anak remaja kini yang seusia Rosli Dhoby ketika itu baru hendak mengenal dunia. Sedangkan beliau dalam usia belasan tahun telah melakar sejarah tersendiri demi menengakkan atau memastikan kebebasan negeri tercinta. Bekas guru ini telah menyertai Barisan Pemuda Melayu (BPM) Sibu dan kumpulan Rukun Tiga Belas bagi membanta penyerahan Sarawak kepada pihak British.
Rosli Dhoby merupakan seorang pejuang kemerdekaan Sarawak daripada penjajah British. Beliau berketurunan Melanau. Rosli didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949. Selepas beberapa bulan dalam penjara di Kuching, Rosli akhirnya maut di tali gantung pada 2 Februari 1950. Turut sama digantung adalah rakan seperjuangannya Morsidi Sidik, Awang Rambli Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong. Mereka semua dikebumikan di situ juga, di Penjara Kuching, tanpa batu nisan. Namun pada 2 Mac 1996, keempat-empat pejuang kemerdekaan ini dikebumikan semula di Sibu.
Dato' Maharaja Lela Pandak Lam0 commentsDato' Maharaja Lela Pandak Lam (meninggal dunia: 20 Januari 1877) ialah seorang pembesar kelapan Perak yang merupakan pejuang bangsa yang bertanggungjawab kepada sumpah dan janjinya tetapi dikecewakan oleh raja dan bangsanya sendiri. Seorang keturunan Daeng Salili, Pandak Lam adalah anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III, beliau datang ke Perak dan dilantik sebagai mufti serta dianugerahkan gelaran "Dato' Maharaja Lela Tan Lela", dengan kuasa boleh memancung tanpa bertanya. Pandak Lam kemudian merupakan pemimpin yang mengetuai perjuangan menentang British di Perak. Bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin yang lain seperti Orang Kaya-kaya Seri Agar Diraja (lebih dikenali sebagai Dato' Sagor) dan Ngah Kandin, beliau merancang dan membuat pakatan untuk membunuh James Wheller Woodfird Birch (J.W.W. Birch), Residen British Perak. Keputusan itu diluluskan oleh mesyuarat Durian Sebatang yang dipengerusikan oleh Sultan Abdullah dan dihadiri oleh pembesar-pembesarnya pada 21 Julai 1875. Namun, beliau didapati bersalah terhadap pembunuhan J.W.W. Birch pada 2 November 1875 di Pasir Salak oleh mahkamah yang bersidang dari 14 Disember hingga 22 Disember 1876 di Matang, Perak. Beliau dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 20 Januari 1877 di Taiping. Mat Salleh Pejuang Kebebasan Sabah3 commentsBritish bersetuju beri kuasa kepada anak pembesar Sulu tadbir Tambunan selepas berdamai pada April 1898 PEJUANG kebangsaan Sabah, Mat Salleh dikatakan memiliki ilmu kebatinan yang tinggi sehingga menyebabkan British gagal membunuhnya walaupun beberapa kali serangan hebat termasuk menggunakan meriam, dilancar terhadap tokoh itu. Beliau juga dikatakan memiliki ilmu kebal menerusi baju jaket yang dipakainya menyebabkan jasad pahlawan itu tidak cedera serta membolehkannya meloloskan diri ketika serbuan British dilakukan terhadap kubunya. Selain diri tokoh pahlawan itu, cerita aneh dan ganjil turut dikaitkan dengan isterinya iaitu Dayang Bandang apabila wanita itu dikatakan tidak boleh menjejak kaki ke tanah. Dayang yang juga saudara kepada Sultan Sulu, hanya bergerak ke sesuatu tempat dengan diusung. Nama sebenar tokoh itu adalah Datu Mohamed Salleh Datu Balu dan dilahirkan di Kampung Inanam. Bapanya seorang pembesar Sulu dan pemerintah daerah Sungai Sugut manakala ibunya seorang wanita Bajau. Beliau mewarisi jawatan bapanya sebagai pembesar Sulu di Sungai Subuk dan Labuk. Sejarah perjuangan Mat Salleh menentang British atau Syarikat Borneo Utara British (SBUB) bermula pada 1894 apabila bangsa asing yang menduduki Sabah itu mula memperkenalkan peraturan dan syarat yang membebankan penduduk. British memperkenalkan peraturan baru seperti pengamalan buruh paksa serta mengenakan cukai beras dan perahu. Tugas mengutip cukai pula diambil alih oleh pegawai British menyebabkan kekuasaan pembesar negeri semakin terancam. Selain itu, kebangkitan Mat Salleh menentang British berpunca daripada semangat perjuangan jihad orang Sulu yang menentang Sepanyol di Filipina. Babak permulaan kepada perjuangan Mat Salleh bermula apabila dua peniaga Dayak dibunuh beberapa penduduk. Seorang kerani di Pulau Jambongan iaitu Haji Otang mengadu kepada British kononnya penduduk yang membunuh peniaga Dayak itu adalah pengikut pembesar berkenaan. Turut diadukan adalah sikap Mat Salleh yang seolah-olah menentang British apabila masih memungut cukai daripada orang belayar di Sungai Sugut walaupun tugas itu sudah diambil alih British. Aduan itu menyebabkan British mengeluarkan arahan supaya Mat Salleh ditangkap. Mat Salleh sebaliknya tampil menyerah diri dan membela dirinya menyebabkan British terpaksa membebaskannya. Pada 17 Ogos 1895, Mat Salleh bersama beberapa ketua tempatan dari Sugut pergi ke Buli Sim-sim berhampiran Sandakan untuk berunding dengan Gabenor Borneo Utara British, CV Creagh mengenai masalah cukai dan lesen yang diperkenalkan British selain tindakan biadap pegawai SBUB terhadap penduduk tempatan. Bagaimanapun, Creagh ketika itu tiada di kawasan berkenaan kerana sedang melawat Teluk Darvel. Ketiadaan ketua mereka menyebabkan pegawai British bertindak biadap apabila tidak melayan kehadiran rombongan Mat Salleh menyebabkan rombongan Mat Salleh terpaksa menunggu di muara selama dua hari. Akhirnya mereka meninggalkan kawasan itu bersama perasaan amarah dan berasa terhina dengan perlakuan dan layanan British. Sebaik Creagh kembali, pegawai British terbabit dipercayai memfitnah kononnya Mat Salleh bersama rombongannya, datang mengancam British menyebabkan lelaki asing itu membuta tuli mengarahkan Mat Salleh ditangkap. Satu pasukan segera dihantar untuk menangkap pahlawan itu tetapi pasukan itu gagal mengesan kedudukan Mat Salleh. Berang dengan kegagalan mereka, pasukan British bertindak membakar dan memusnahkan kampung Mat Salleh serta merampas harta bendanya. British juga mengisytiharkan Mat Salleh sebagai orang buruan dan ganjaran 500 ringgit diberikan kepada sesiapa yang berjaya menangkapnya. Tindakan British itu yang cuba menjadikannya sebagai ‘kambing hitam’ menyebabkan Mat Salleh tidak lagi percaya akan ketelusan British. Tanpa melakukan apa-apa angkara, British menuduhnya mendatangkan ancaman malah memusnahkan kampung dan ingin menangkap dirinya. Bagi mempertahankan diri berserta semangat jihad untuk mengusir penjajah, Mat Salleh kemudian mengangkat senjata dan mengisytiharkan peperangan dengan bangsa asing itu. Serangan demi serangan berterusan dilancarkan kepada British. Mat Salleh turut membina beberapa kubu di Sungai Sugut dan Labuk bagi menangani serangan balas penjajah. Menyedari yang Mat Salleh mula melancarkan serangan bersenjata, British melancarkan gerakan besar-besaran untuk menangkap pahlawan itu. Mereka mengutuskan satu pasukan diketuai Raffles Flint untuk menangkapnya tetapi gagal. Pada 9 Julai 1897, Mat Salleh bersama pengikutnya dari Inanam dan Mengkabang bertindak menyerang dan memusnahkan balai polis dan bangunan kerajaan di Pulau Gaya. Serangan itu berjaya mengalahkan British serta menaikkan semangat pejuang tempatan untuk mengusir penjajah dari bumi merdeka mereka. Selepas itu, Mat Salleh dan pengikutnya berundur ke Ranau dan di sana, beliau membina kubu yang kuat bagi meneruskan penentangan terhadap British. Menyedari Mat Salleh bersungguh-sungguh untuk mengusir mereka dari bumi Borneo, British mula merancang strategi untuk menyerang balas dan memusnahkan kubu Mat Salleh. Seterusnya angkatan perang penjajah itu dihantar menyerang kubu Mat Salleh pada 13 Disember 1897. Peperangan sengit tercetus menggegarkan bumi Ranau pada hari itu. Serangan demi serangan bagaimanapun menyebabkan British masih belum dapat memecah masuk ke dalam kubu berkenaan. Bagaimanapun, British akhirnya memotong bekalan air menyebabkan pengikut Mat Salleh yang terkepung di dalam kubu kehausan dan tidak bertenaga untuk menentang askar British. British kemudian menyerbu masuk dan berjaya menawan kubu berkenaan. Dalam serangan itu, bapa Mat Salleh terbunuh tetapi Mat Salleh berjaya mengundurkan diri. Kematian ayahnya menyebabkan kemarahan dan dendam Mat Salleh terhadap British semakin membara. Beliau terus melancarkan serangan demi serangan sehingga menyebabkan semakin ramai askar British terkorban. British pula semakin tertekan dan gentar memikirkan kekuatan dan kehebatan Mat Salleh. Kegagalan untuk menangkap tokoh pahlawan itu menyebabkan mereka semakin tidak senang duduk. Pengaruh dan maruah mereka di Sabah juga semakin tercalar. Akhirnya, ketakutan terhadap pahlawan itu menyebabkan British mengambil keputusan untuk berdamai dengan Mat Salleh pada April 1898. Satu rundingan diadakan dan antara isi perjanjian damai itu ialah British bersetuju memberi kuasa kepada Mat Salleh untuk mentadbir Tambunan secara bebas dan mereka tidak akan mengganggu pemerintahan pahlawan itu. Pejuang kemerdekaan ditembak di Tambunan UMPAMA biawak yang memiliki lidah bercabang, British akhirnya tidak mematuhi perjanjian damai yang dimeterai dengan Mat Salleh. Mereka kemudian berhasrat menduduki Tambunan yang sudah diserah kepada Mat Salleh menerusi perjanjian berkenaan. Pencabulan perjanjian itu menyebabkan Mat Salleh tidak lagi mempercayai British. Mat Salleh mempertikaikan tindakan British dan mengugut akan membebaskan Sandakan dan Labuan daripada penjajahan bangsa asing itu jika mereka ingin menyerang Tambunan. Pada 31 Disember 1899, kubu Mat Salleh di Tambunan digempur habis-habisan oleh British yang ingin merampas dan menjajah kawasan itu. Satu pasukan terdiri daripada 140 askar diketuai Kapten Harrington bersama sebuah meriam besar menyerang perkampungan Mat Salleh sehingga pertempuran itu berlarutan selama sebulan. Serangan terutama menerusi ledakan meriam itu menyebabkan beberapa kampung sekitar kubu Mat Salleh di Tibaba, musnah dan berjaya ditawan bangsa asing itu. Pada 15 Januari 1900, kubu kuat milik orang Murut Tega’as dan kubu Mat Sator iaitu penolong Mat Salleh berjaya dimusnahkan British menyebabkan saki baki pahlawan hanya tinggal kumpulan Mat Salleh bersama pengikutnya yang terdiri daripada orang Bajau serta dua kubunya saja. Pada 31 Januari 1900, British melepaskan tembakan meriam ke arah kubu Mat Salleh tanpa henti. Serangan bertali arus itu menyebabkan Mat Salleh terbunuh apabila ditembak ketika keluar dari sebuah lubang dalam kubu pertahanannya. Mengikut cerita, Mat Salleh mati ditembak Tambunan ketika pahlawan itu tidak memakai baju kebalnya kerana ingin mengambil air wuduk bagi persiapan untuk menunaikan solat. Hari itu, matinya seorang pahlawan yang gigih berusaha membela bangsa dan tanah air daripada dijajah bangsa asing. Jasanya terus dikenang sehingga kini sebagai sebahagian daripada sejarah Sabah dan beberapa tugu antaranya di Kampung Tibaba, Tambunan dibina sempena memperingati pertempuran terakhir Mat Salleh dengan British. Muzium Sabah juga membina sebuah memorial di kampung itu yang antara lain, isi kandungan pameran di memorial itu meliputi sejarah perjuangan Mat Salleh serta peralatan yang pernah digunakan pahlawan itu seperti senjata, batu asah, gambar, ilustrasi, catatan berkaitan serta serpihan tembikar. Walaupun perjuangannya berakhir dengan kematian, nama dan pengorbanannya terus diingati penduduk negara ini umumnya dan masyarakat Sabah khususnya, sehingga apabila ditanya siapakah pejuang kemerdekaan negara di Sabah, pasti mereka akan menjawab: “Mat Salleh.” Sumber : Muzium Sabah Abdul Said (Dol Said)0 commentsMAKAM Dol Said di Taboh, Naning.
Pemerintah Naning susun strategi perang gerila, guna senjata tradisional untuk tumpaskan askar British ketika perang empat bulan
ADA kejadian aneh dan mistik yang diceritakan berlaku ketika tentera British cuba menjajah ibu kota Naning iaitu Taboh dengan menyerang pejuang Melayu, Dol Said serta pasukannya dalam Perang Naning Kedua 1832. Seperti diceritakan beberapa penduduk lama kawasan itu, apabila tentera penjajah cuba mendatangkan kerosakan di muka bumi Naning (kini kawasan Alor Gajah, Melaka), penduduk tempatan diketuai Penghulu Dol Said bangkit mempertahankan tanah air mereka. Bagaimanapun, peristiwa misteri dan ajaib adalah demi membela tanah air, penentangan terhadap segerombolan tentera British itu tidak saja disertai penduduk watan tetapi turut disertai ribuan serangga Naning iaitu serangga yang seakan-akan penyengat besar. Pengkaji Sejarah yang juga Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali, berkata mengikut cerita penduduk tempatan, kejadian aneh itu menyebabkan tentera British kelam-kabut. “Mungkin ia disebabkan ‘keramat’ atau sebagainya dan timbul cadangan supaya tentera British melemparkan benda najis dan kotor ke seluruh kawasan itu terlebih dulu bagi menghilangkan keramat seterusnya menghindarkan serangan berkenaan,” katanya. Beliau berkata, selepas mengotorkan bumi Naning, barulah tentera British kembali menyerang pasukan Dol Said. Tentangan British bagaimanapun tidak semudah disangka kerana ia dibalas hebat dan sengit oleh pasukan Dol Said walaupun sekadar bersenjatakan parang, lembing dan senjata tradisional. Akhirnya, selepas peperangan itu berlarutan selama kira-kira empat bulan, akhirnya pasukan Penghulu Naning itu tewas kepada kemampuan meriam serta senapang British dan negeri merdeka seluas kira-kira 67,000 hektar itu kemudian dijajah pada Jun 1832. Malah, ramai tidak mengetahui yang British pernah malu besar ketika menentang Naning pada Perang Naning Pertama 1831 - maruah mereka sebagai kuasa besar dunia ketika itu, jatuh dari tempat tertinggi ke lantai paling rendah. Sebagai kuasa besar dunia yang memiliki empayar jajahan luas, pernah menyertai dan memenangi banyak peperangan dengan kuasa besar lain termasuk menyertai Perang Dunia Pertama selain memiliki kelengkapan senjata dan meriam yang digeruni; mereka akhirnya kalah kepada negeri kecil Naning pada 1831 yang mana penyerangnya hanya menggunakan parang dan senjata tradisional. Mengimbas perjuangan tokoh kebebasan tanah air itu, Dr Abdullah menjelaskan bahawa ia berlaku atas semangat cintakan tanah air di kalangan penduduk Naning yang diketuai pemerintahnya iaitu Dol Said atau nama sebenarnya Abdul Said. Mereka bersatu padu menentang usaha British untuk menjajah negeri mereka. “Dol Said ketika itu adalah pemerintah Naning iaitu sebuah negeri yang berjiran dengan Melaka; walaupun jawatannya adalah penghulu atau digelar Datuk Seroja Merah mengikut adat pepatih, tetapi tarafnya menyamai raja dan sultan. “Beliau dilahirkan pada 1773 dan berasal daripada suku Semelenggang iaitu satu daripada dua suku yang bergilir memegang jawatan Penghulu Naning, selain suku Biduanda,” katanya. Tokoh pahlawan itu dilantik sebagai Penghulu Naning kesembilan ketika berusia hanya 26 tahun. Rentetan sejarah perjuangan penduduk Naning terhadap kuasa penjajah sudah berlangsung dalam tempoh yang lama membuktikan semangat nasionalisme anak watan sememangnya disemai generasi demi generasi. Apabila Portugis menjajahi Melaka sekitar abad ke-16, Naning sering menyerang penjajah itu yang berkubu di negeri jiran mereka. Begitu juga apabila Belanda mengalahkan Portugis lalu mengambil alih pemerintahan Melaka pada abad ke-17, mereka turut diserang penduduk Naning. Peperangan berdasarkan negeri jiran mereka iaitu Melaka dijajahi rakyat asing dan sebagai negeri berjiran, Naning sering diganggu kuasa asing itu. “Seterusnya British mengadakan perjanjian bersyarat dikenali Perikatan London dengan Belanda pada 1824 iaitu British akan menyerahkan pemerintahan mereka di Bengkulu, Sumatera kepada Belanda dan Belanda menyerahkan Melaka kepada pemerintahan British,” katanya. Sejak itu, British menguasai dan memerintah Melaka dan bermulalah kisah persengketaan dan perjuangan suci antara Dol Said dan pengikutnya dengan kuasa asing itu, demi mempertahankan tanah air merdeka mereka iaitu Naning. “Sebelum itu pada 1801, ketika British memerintah Melaka sementara dari Belanda ketika Perang Napoleon, satu perjanjian sudah dibuat Naning yang diwakili Penghulu Dol Said dan empat ketua suku dengan British, disebabkan Naning adalah negara jiran kepada Melaka yang dikuasai British. “Antara syarat perjanjian itu adalah Naning perlu menghantar satu persepuluh daripada hasil pertanian mereka kepada British. Sebelum ini pun Naning ada menghantar hasil pertanian mereka kepada Belanda sebagai tanda persahabatan. “Dan apabila British memerintah, Naning bersetuju menghantar bahagian itu sebagai kelangsungan tanda persahabatan dengan Melaka (British) tetapi British pula menganggap Naning menghantar hasil itu disebabkan Naning tunduk kepada kekuasaan mereka,” katanya. Dr Abdullah berkata, apabila Melaka dipulangkan kembali British kepada pihak Belanda di bawah Perikatan Vienna selepas Perang Napoleon pada 1818, perjanjian penghantaran hasil itu mungkin turut dimansuhkan. Belanda memerintah Melaka selama kira-kira tujuh tahun sebelum diserahkan kepada British melalui Perikatan London 1824. Apabila British kembali memerintah, mereka ingin menguatkuasakan kembali perjanjian penghantaran hasil tahunan Naning yang sudah dimansuhkan. Bagaimanapun, takrifan satu persepuluh daripada hasil pertanian Naning seperti dikemukakan British adalah melampau dan terlalu tinggi sehingga membebankan penduduk. “Konflik timbul apabila British mendakwa bahawa Naning adalah sebahagian daripada Melaka dan berada di bawah pemerintahan British tetapi ia disangkal Dol Said yang menyatakan bahawa Naning adalah negeri merdeka. “Dol Said sanggup menghantar hasil tahunan sebagai tanda persahabatan tetapi tidak mahu menghantar jika British menganggap yang negeri itu adalah sebahagian dari Melaka dan mereka mesti tunduk kepada British,” katanya. Konflik itu berlarutan apabila Naning enggan tunduk kepada undang-undang diperkenalkan British apabila pada 1828, Dol Said menyelesaikan sendiri satu kes bunuh di Naning. Tindakan itu menyemarakkan lagi sengketa apabila British mendakwa kes bunuh itu perlu dihakimi oleh mereka di Melaka kerana Naning adalah sebahagian dari Melaka. “Dol Said diberi amaran oleh British berhubung perkara itu sehingga membangkitkan kemarahan tokoh itu. “Gabenor Negeri-negeri Selat (negeri-negeri selat adalah Pulau Pinang, Singapura dan Melaka yang diperintah British) iaitu Ibbetson melihat Naning sebagai jajahan Melaka yang ingkar dan menentang British menyebabkan mereka membuat keputusan untuk menyerang dan menakluki negeri itu,” katanya. Keputusan itu menjadi pencetus kepada Perang Naning Pertama 1831. Sikap angkuh British menyebabkan mereka memandang rendah terhadap Naning dengan anggapan bahawa negeri kecil dan miskin itu mampu dikalahkan dalam tempoh sehari saja. Lalu mereka menghantar pasukan kecil tentera iaitu seramai 150 anggota yang diketuai Kapten Wyllie untuk menyerang negeri itu pada 6 Ogos tahun itu. “Dol Said sudah menyedari rancangan serangan British itu menyebabkan dia mengumpul penduduk Naning dan mendapatkan bantuan ketenteraan negeri jiran antaranya dari Yamtuan Ali Rembau, Pembesar Sri Menanti, Penghulu Linggi dan Datuk Kelana Sungai Ujong,” katanya. Tanpa pengetahuan British, pasukan Naning sudah dibentuk dengan kira-kira 4,000 kekuatan tentera untuk menghadapi 150 tentera British. Bagaimanapun, British memiliki beberapa kelebihan kerana memiliki senapang dan membawa sebuah meriam manakala pasukan Dol Said sekadar bersenjatakan parang, lembing dan senjata tradisional. Selain kekuatan anggota, Dol Said juga bijak merencanakan strategi perang apabila melancarkan serang gerila. Tentera British sentiasa diserang di kawasan hutan sejak mereka memulakan ekspedisi ke Naning. “Pasukan gerila hutan Dol Said menggunakan taktik menanam ranjau sebagai jerangkap samar ketika tentera British melalui laluan hutan. Mereka turut menebang pokok merentangi laluan tentera British sekali gus menghalang perjalanan mereka kerana British membawa meriam menggunakan kereta lembu. “Ketika tentera British sibuk dan leka membersihkan laluan dan mengalihkan pokok yang ditebang, pasukan Dol Said menyerang hendap mereka dan taktik serupa dilakukan berulang kali sepanjang laluan dari Melaka ke Naning,” katanya. Beliau berkata, taktik itu nyata berkesan apabila tentera British terpaksa melarikan diri pulang ke Melaka akibat kecederaan, walaupun perjalanan mereka sudah memakan masa kira-kira 18 hari dan sudah sampai di Meleket iaitu kira-kira tujuh kilometer dari Naning. Melihat pasukan mereka pulang dengan kecederaan dan kalah teruk sebelum sempat menjejakkan kaki di Naning, pemerintah British menjadi berang dan mereka kembali mengumpul kekuatan untuk melancarkan gelombang Perang Naning Kedua 1832. PROFIL: Dol Said Nama sebenar: Abdul Said Tahun lahir: 1773 Tahun kematian: 1849 (76 tahun) Suku kaum: Semelenggang. Asal: Naning (kini Alor Gajah, Melaka) Sumbangan: Pemerintah Naning kesembilan, tokoh penentang British. Penjajah tawar wang tunai tangkap Datuk Seroja Merah SELAIN mengumpulkan bala tentera untuk menyerang habis-habisan tentera Dol Said pada Perang Naning Kedua 1832, British turut mengeluarkan tawaran lumayan kepada sesiapa saja yang dapat menangkap Dol Said dan pengikutnya. Tawaran itu berupa 1,000 wang Sepanyol bagi tangkapan hidup atau mati Dol Said dan 200 Sepanyol kepada pengikut tokoh itu iaitu Andika, Petah Melayu, Cik Had dan Cik Mohamad. Pada Februari 1832, gerakan memerangi dan menawan Naning kali kedua dilancarkan British dengan kekuatan tentera antara 1,200 hingga 1,400 anggota diketuai Kolonel Herbert. Tentangan kali ini bagaimanapun menimbulkan kesulitan pada pihak Dol Said kerana negeri jiran mereka tidak lagi mahu menghulurkan bantuan ketenteraan selepas negeri jiran itu diugut British. Malah, ada antara negeri jiran Naning itu bertukar sokongan dengan memberi bantuan kepada British lantaran takut penjajah itu menyerang mereka pula. Selepas bertempur sengit sehingga berlarutan selama tiga bulan, dengan kekuatan tentera terhad hanya kepada penduduk Naning selain kelemahan aspek senjata, pasukan Dol Said gagal mempertahankan tanah air mereka itu. Pahlawan itu dan beberapa pengikutnya terpaksa berundur ke Pasir Besar dan Naning jatuh ke tangan British pada 15 Jun 1832. Setahun menyembunyikan diri, Dol Said menyerah diri kepada British. Beliau tidak dikenakan hukuman berat oleh British melainkan jawatannya dilucutkan dan dia menjadi rakyat biasa. Negerinya diambil British dan dia hanya digantikan dengan sebuah rumah dan pencen 100 rupee sebulan oleh tentera asing itu. Beberapa pengikutnya yang lain dihukum buang negeri ke India. Hidup sebagai rakyat kebanyakan, Dol Said meninggal dunia pada Ogos 1849 dan disemadikan di Tanah Perkuburan Taboh Naning. Dr Abdullah mendiamkan diri seketika selepas selesai menceritakan perjuangan wira bangsa itu. Kemudian dia memandang penulis dan selepas selesai berfikir, beliau memulakan bicara: “Inilah semangat perjuangan bangsa Melayu terdahulu, kehadiran kuasa Barat tidak kita terima dengan mudahnya dan mereka menghadapi tentangan hebat. Kemenangan dalam Perang Naning Pertama 1831 membuktikan yang semangat bersatu padu dan strategi peperangan membolehkan kita menang. “Walaupun ketika itu kita tidak memiliki senjata hebat, kita menang kerana bersatu. Perang Naning Kedua 1832 sendiri menjadi contoh jika bangsa Melayu tidak bersatu, ditambah pula jika ada antara bangsa Melayu yang menyokong Barat, kita akan menemui kekalahan,” katanya. Seketika Dr Abdullah kembali menjengah ruang fikir. Beliau melihat persamaan antara sikap angkuh British kononnya sebagai kuasa besar dan memandang rendah terhadap kuasa kecil Naning, sama sekali dengan kekalahan Amerika terhadap Vietnam dalam Perang Vietnam pada 1959 hingga 1975. “Sayang sekali tiada pihak yang merekodkan peribadi dan fizikal Dol Said sekali gus menyebabkan kita kehilangan satu cebisan warisan sejarah. Mungkin ketika itu sudah ada orang Melayu yang melukis tetapi tiada lakaran wajah dan jasad Dol Said yang kita temui. “Seorang tentera yang terbabit dalam dua perang Naning itu iaitu PJ Beg Bie menulis mengenai Perang Naning dalam bukunya The Malayan Peninsular tetapi tidak menyatakan perwatakan Dol Said,” katanya. Beliau berkata, penulis sejarah terdahulu seperti Abdullah Munshi pula tidak menulis mengenai perwatakan pejuang itu kerana Abdullah berfikir bahawa sudah ada tulisan mengenai perang Naning, jadi beliau tidak perlu menulis lagi. Sumber : Berita Harian
Subscribe to:
Posts (Atom)
Arkib Seminggu
Maklumat Berguna
Fakta Menarik Tentang MalaysiaTentang Jalur GemilangSenarai Perdana Menteri MalaysiaMaksud Bendera NegeriSenarai Menteri Di Setiap Negeri
1) Menteri Besar Johor 2) Menteri Besar Kedah 3) Menteri Besar Kelantan 4) Menteri Besar Negeri Sembilan 5) Menteri Besar Pahang 6) Menteri Besar Perak 7) Menteri Besar Selangor 8) Menteri Besar Terengganu 9) Menteri Wilayah Persekutuan 10) Ketua Menteri Melaka 11) Ketua Menteri Pulau Pinang 12) Ketua Menteri Sabah 13) Ketua Menteri Sarawak
Maksud Jata Negeri
1) Jata Negeri Johor 2) Jata Negeri Kedah 3) Jata Negeri Kelantan 4) Jata Negeri Melaka 5) Jata Negeri Pahang 6) Jata Negeri Perak 7) Jata Negeri Perlis 8) Jata Negeri Pulau Pinang 9)Jata Negeri Sabah 10) Jata Negeri Selangor 11) Jata Negeri Sembilan 12) Jata Negeri Serawak 13) Jata Negeri Terengganu
Lagu Dan Lirik Negeri
1) Lagu Dan Lirik Negeri Johor 2) Lagu Dan Lirik Negeri Kedah 3) Lagu Dan Lirik Negeri Kelantan 5) Lagu Dan Lirik Negeri Melaka 6) Lagu Dan Lirik Negeri Pahang 7) Lagu Dan Lirik Negeri Perak 8) Lagu Dan Lirik Negeri Perlis 9) Lagu Dan Lirik Negeri Pulau Pinang 10) Lagu Dan Lirik Negeri Sabah 11) Lagu Dan Lirik Negeri Sarawak 12) Lagu Dan Lirik Negeri Selangor 13) Lagu Dan Lirik Negeri Sembilan 14) Lagu Dan Lirik Negeri Terengganu
Lirik Lagu-lagu Patriotik
1) Negaraku 2) Tanggal 31 3) Malaysia Berjaya 4) Tegakkan Bendera Kita 5) Kami Anak Malaysia 6) Di Hari Penghabisan 7) Bumi Malaysia 8) Jalur Gemilang 9) Dirgahayu Tanahair Ku 10) Fikirkan Boleh 11) Ilham Pujangga 12) Kemegahan Negaraku 13) Keranamu Malaysia 14) Malaysia Baru 15) Malaysia Berjaya 16) 1Malaysia
Logo Dan Tema Hari Kemerdekaan MalaysiaTokoh-tokoh MalaysiaPejuang KemerdekaanDownload Lagu Patriotik
Detik KemerdekaanPencapaian Malaysia Setelah MerdekaDengar Radio OnlinePuisi Dan Sajak1 Malaysia
Tinggalkan Mesej Anda Di Sini |

