Mat Salleh Pejuang Kebebasan Sabah

British bersetuju beri kuasa kepada anak pembesar Sulu tadbir Tambunan selepas berdamai pada April 1898


PEJUANG kebangsaan Sabah, Mat Salleh dikatakan memiliki ilmu kebatinan yang tinggi sehingga menyebabkan British gagal membunuhnya walaupun beberapa kali serangan hebat termasuk menggunakan meriam, dilancar terhadap tokoh itu.

Beliau juga dikatakan memiliki ilmu kebal menerusi baju jaket yang dipakainya menyebabkan jasad pahlawan itu tidak cedera serta membolehkannya meloloskan diri ketika serbuan British dilakukan terhadap kubunya.

Selain diri tokoh pahlawan itu, cerita aneh dan ganjil turut dikaitkan dengan isterinya iaitu Dayang Bandang apabila wanita itu dikatakan tidak boleh menjejak kaki ke tanah. Dayang yang juga saudara kepada Sultan Sulu, hanya bergerak ke sesuatu tempat dengan diusung.

Nama sebenar tokoh itu adalah Datu Mohamed Salleh Datu Balu dan dilahirkan di Kampung Inanam. Bapanya seorang pembesar Sulu dan pemerintah daerah Sungai Sugut manakala ibunya seorang wanita Bajau. Beliau mewarisi jawatan bapanya sebagai pembesar Sulu di Sungai Subuk dan Labuk.

Sejarah perjuangan Mat Salleh menentang British atau Syarikat Borneo Utara British (SBUB) bermula pada 1894 apabila bangsa asing yang menduduki Sabah itu mula memperkenalkan peraturan dan syarat yang membebankan penduduk.

British memperkenalkan peraturan baru seperti pengamalan buruh paksa serta mengenakan cukai beras dan perahu. Tugas mengutip cukai pula diambil alih oleh pegawai British menyebabkan kekuasaan pembesar negeri semakin terancam.

Selain itu, kebangkitan Mat Salleh menentang British berpunca daripada semangat perjuangan jihad orang Sulu yang menentang Sepanyol di Filipina.

Babak permulaan kepada perjuangan Mat Salleh bermula apabila dua peniaga Dayak dibunuh beberapa penduduk.

Seorang kerani di Pulau Jambongan iaitu Haji Otang mengadu kepada British kononnya penduduk yang membunuh peniaga Dayak itu adalah pengikut pembesar berkenaan. Turut diadukan adalah sikap Mat Salleh yang seolah-olah menentang British apabila masih memungut cukai daripada orang belayar di Sungai Sugut walaupun tugas itu sudah diambil alih British.

Aduan itu menyebabkan British mengeluarkan arahan supaya Mat Salleh ditangkap. Mat Salleh sebaliknya tampil menyerah diri dan membela dirinya menyebabkan British terpaksa membebaskannya.

Pada 17 Ogos 1895, Mat Salleh bersama beberapa ketua tempatan dari Sugut pergi ke Buli Sim-sim berhampiran Sandakan untuk berunding dengan Gabenor Borneo Utara British, CV Creagh mengenai masalah cukai dan lesen yang diperkenalkan British selain tindakan biadap pegawai SBUB terhadap penduduk tempatan.

Bagaimanapun, Creagh ketika itu tiada di kawasan berkenaan kerana sedang melawat Teluk Darvel. Ketiadaan ketua mereka menyebabkan pegawai British bertindak biadap apabila tidak melayan kehadiran rombongan Mat Salleh menyebabkan rombongan Mat Salleh terpaksa menunggu di muara selama dua hari.

Akhirnya mereka meninggalkan kawasan itu bersama perasaan amarah dan berasa terhina dengan perlakuan dan layanan British.

Sebaik Creagh kembali, pegawai British terbabit dipercayai memfitnah kononnya Mat Salleh bersama rombongannya, datang mengancam British menyebabkan lelaki asing itu membuta tuli mengarahkan Mat Salleh ditangkap.

Satu pasukan segera dihantar untuk menangkap pahlawan itu tetapi pasukan itu gagal mengesan kedudukan Mat Salleh. Berang dengan kegagalan mereka, pasukan British bertindak membakar dan memusnahkan kampung Mat Salleh serta merampas harta bendanya.

British juga mengisytiharkan Mat Salleh sebagai orang buruan dan ganjaran 500 ringgit diberikan kepada sesiapa yang berjaya menangkapnya.

Tindakan British itu yang cuba menjadikannya sebagai ‘kambing hitam’ menyebabkan Mat Salleh tidak lagi percaya akan ketelusan British. Tanpa melakukan apa-apa angkara, British menuduhnya mendatangkan ancaman malah memusnahkan kampung dan ingin menangkap dirinya.

Bagi mempertahankan diri berserta semangat jihad untuk mengusir penjajah, Mat Salleh kemudian mengangkat senjata dan mengisytiharkan peperangan dengan bangsa asing itu.

Serangan demi serangan berterusan dilancarkan kepada British. Mat Salleh turut membina beberapa kubu di Sungai Sugut dan Labuk bagi menangani serangan balas penjajah.

Menyedari yang Mat Salleh mula melancarkan serangan bersenjata, British melancarkan gerakan besar-besaran untuk menangkap pahlawan itu. Mereka mengutuskan satu pasukan diketuai Raffles Flint untuk menangkapnya tetapi gagal.

Pada 9 Julai 1897, Mat Salleh bersama pengikutnya dari Inanam dan Mengkabang bertindak menyerang dan memusnahkan balai polis dan bangunan kerajaan di Pulau Gaya.

Serangan itu berjaya mengalahkan British serta menaikkan semangat pejuang tempatan untuk mengusir penjajah dari bumi merdeka mereka. Selepas itu, Mat Salleh dan pengikutnya berundur ke Ranau dan di sana, beliau membina kubu yang kuat bagi meneruskan penentangan terhadap British.

Menyedari Mat Salleh bersungguh-sungguh untuk mengusir mereka dari bumi Borneo, British mula merancang strategi untuk menyerang balas dan memusnahkan kubu Mat Salleh.

Seterusnya angkatan perang penjajah itu dihantar menyerang kubu Mat Salleh pada 13 Disember 1897. Peperangan sengit tercetus menggegarkan bumi Ranau pada hari itu. Serangan demi serangan bagaimanapun menyebabkan British masih belum dapat memecah masuk ke dalam kubu berkenaan.

Bagaimanapun, British akhirnya memotong bekalan air menyebabkan pengikut Mat Salleh yang terkepung di dalam kubu kehausan dan tidak bertenaga untuk menentang askar British. British kemudian menyerbu masuk dan berjaya menawan kubu berkenaan.

Dalam serangan itu, bapa Mat Salleh terbunuh tetapi Mat Salleh berjaya mengundurkan diri. Kematian ayahnya menyebabkan kemarahan dan dendam Mat Salleh terhadap British semakin membara. Beliau terus melancarkan serangan demi serangan sehingga menyebabkan semakin ramai askar British terkorban.

British pula semakin tertekan dan gentar memikirkan kekuatan dan kehebatan Mat Salleh. Kegagalan untuk menangkap tokoh pahlawan itu menyebabkan mereka semakin tidak senang duduk. Pengaruh dan maruah mereka di Sabah juga semakin tercalar.

Akhirnya, ketakutan terhadap pahlawan itu menyebabkan British mengambil keputusan untuk berdamai dengan Mat Salleh pada April 1898. Satu rundingan diadakan dan antara isi perjanjian damai itu ialah British bersetuju memberi kuasa kepada Mat Salleh untuk mentadbir Tambunan secara bebas dan mereka tidak akan mengganggu pemerintahan pahlawan itu.

Pejuang kemerdekaan ditembak di Tambunan

UMPAMA biawak yang memiliki lidah bercabang, British akhirnya tidak mematuhi perjanjian damai yang dimeterai dengan Mat Salleh. Mereka kemudian berhasrat menduduki Tambunan yang sudah diserah kepada Mat Salleh menerusi perjanjian berkenaan.

Pencabulan perjanjian itu menyebabkan Mat Salleh tidak lagi mempercayai British. Mat Salleh mempertikaikan tindakan British dan mengugut akan membebaskan Sandakan dan Labuan daripada penjajahan bangsa asing itu jika mereka ingin menyerang Tambunan.

Pada 31 Disember 1899, kubu Mat Salleh di Tambunan digempur habis-habisan oleh British yang ingin merampas dan menjajah kawasan itu.

Satu pasukan terdiri daripada 140 askar diketuai Kapten Harrington bersama sebuah meriam besar menyerang perkampungan Mat Salleh sehingga pertempuran itu berlarutan selama sebulan.

Serangan terutama menerusi ledakan meriam itu menyebabkan beberapa kampung sekitar kubu Mat Salleh di Tibaba, musnah dan berjaya ditawan bangsa asing itu.

Pada 15 Januari 1900, kubu kuat milik orang Murut Tega’as dan kubu Mat Sator iaitu penolong Mat Salleh berjaya dimusnahkan British menyebabkan saki baki pahlawan hanya tinggal kumpulan Mat Salleh bersama pengikutnya yang terdiri daripada orang Bajau serta dua kubunya saja.

Pada 31 Januari 1900, British melepaskan tembakan meriam ke arah kubu Mat Salleh tanpa henti. Serangan bertali arus itu menyebabkan Mat Salleh terbunuh apabila ditembak ketika keluar dari sebuah lubang dalam kubu pertahanannya.

Mengikut cerita, Mat Salleh mati ditembak Tambunan ketika pahlawan itu tidak memakai baju kebalnya kerana ingin mengambil air wuduk bagi persiapan untuk menunaikan solat.

Hari itu, matinya seorang pahlawan yang gigih berusaha membela bangsa dan tanah air daripada dijajah bangsa asing.

Jasanya terus dikenang sehingga kini sebagai sebahagian daripada sejarah Sabah dan beberapa tugu antaranya di Kampung Tibaba, Tambunan dibina sempena memperingati pertempuran terakhir Mat Salleh dengan British.

Muzium Sabah juga membina sebuah memorial di kampung itu yang antara lain, isi kandungan pameran di memorial itu meliputi sejarah perjuangan Mat Salleh serta peralatan yang pernah digunakan pahlawan itu seperti senjata, batu asah, gambar, ilustrasi, catatan berkaitan serta serpihan tembikar.

Walaupun perjuangannya berakhir dengan kematian, nama dan pengorbanannya terus diingati penduduk negara ini umumnya dan masyarakat Sabah khususnya, sehingga apabila ditanya siapakah pejuang kemerdekaan negara di Sabah, pasti mereka akan menjawab: “Mat Salleh.”

Sumber : Muzium Sabah

Abdul Said (Dol Said)


MAKAM Dol Said di Taboh, Naning.

Pemerintah Naning susun strategi perang gerila, guna senjata tradisional untuk tumpaskan askar British ketika perang empat bulan

ADA kejadian aneh dan mistik yang diceritakan berlaku ketika tentera British cuba menjajah ibu kota Naning iaitu Taboh dengan menyerang pejuang Melayu, Dol Said serta pasukannya dalam Perang Naning Kedua 1832.

Seperti diceritakan beberapa penduduk lama kawasan itu, apabila tentera penjajah cuba mendatangkan kerosakan di muka bumi Naning (kini kawasan Alor Gajah, Melaka), penduduk tempatan diketuai Penghulu Dol Said bangkit mempertahankan tanah air mereka.

Bagaimanapun, peristiwa misteri dan ajaib adalah demi membela tanah air, penentangan terhadap segerombolan tentera British itu tidak saja disertai penduduk watan tetapi turut disertai ribuan serangga Naning iaitu serangga yang seakan-akan penyengat besar.

Pengkaji Sejarah yang juga Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali, berkata mengikut cerita penduduk tempatan, kejadian aneh itu menyebabkan tentera British kelam-kabut.

“Mungkin ia disebabkan ‘keramat’ atau sebagainya dan timbul cadangan supaya tentera British melemparkan benda najis dan kotor ke seluruh kawasan itu terlebih dulu bagi menghilangkan keramat seterusnya menghindarkan serangan berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, selepas mengotorkan bumi Naning, barulah tentera British kembali menyerang pasukan Dol Said. Tentangan British bagaimanapun tidak semudah disangka kerana ia dibalas hebat dan sengit oleh pasukan Dol Said walaupun sekadar bersenjatakan parang, lembing dan senjata tradisional.

Akhirnya, selepas peperangan itu berlarutan selama kira-kira empat bulan, akhirnya pasukan Penghulu Naning itu tewas kepada kemampuan meriam serta senapang British dan negeri merdeka seluas kira-kira 67,000 hektar itu kemudian dijajah pada Jun 1832.

Malah, ramai tidak mengetahui yang British pernah malu besar ketika menentang Naning pada Perang Naning Pertama 1831 - maruah mereka sebagai kuasa besar dunia ketika itu, jatuh dari tempat tertinggi ke lantai paling rendah.

Sebagai kuasa besar dunia yang memiliki empayar jajahan luas, pernah menyertai dan memenangi banyak peperangan dengan kuasa besar lain termasuk menyertai Perang Dunia Pertama selain memiliki kelengkapan senjata dan meriam yang digeruni; mereka akhirnya kalah kepada negeri kecil Naning pada 1831 yang mana penyerangnya hanya menggunakan parang dan senjata tradisional.

Mengimbas perjuangan tokoh kebebasan tanah air itu, Dr Abdullah menjelaskan bahawa ia berlaku atas semangat cintakan tanah air di kalangan penduduk Naning yang diketuai pemerintahnya iaitu Dol Said atau nama sebenarnya Abdul Said. Mereka bersatu padu menentang usaha British untuk menjajah negeri mereka.

“Dol Said ketika itu adalah pemerintah Naning iaitu sebuah negeri yang berjiran dengan Melaka; walaupun jawatannya adalah penghulu atau digelar Datuk Seroja Merah mengikut adat pepatih, tetapi tarafnya menyamai raja dan sultan.

“Beliau dilahirkan pada 1773 dan berasal daripada suku Semelenggang iaitu satu daripada dua suku yang bergilir memegang jawatan Penghulu Naning, selain suku Biduanda,” katanya. Tokoh pahlawan itu dilantik sebagai Penghulu Naning kesembilan ketika berusia hanya 26 tahun.

Rentetan sejarah perjuangan penduduk Naning terhadap kuasa penjajah sudah berlangsung dalam tempoh yang lama membuktikan semangat nasionalisme anak watan sememangnya disemai generasi demi generasi.

Apabila Portugis menjajahi Melaka sekitar abad ke-16, Naning sering menyerang penjajah itu yang berkubu di negeri jiran mereka. Begitu juga apabila Belanda mengalahkan Portugis lalu mengambil alih pemerintahan Melaka pada abad ke-17, mereka turut diserang penduduk Naning.

Peperangan berdasarkan negeri jiran mereka iaitu Melaka dijajahi rakyat asing dan sebagai negeri berjiran, Naning sering diganggu kuasa asing itu.

“Seterusnya British mengadakan perjanjian bersyarat dikenali Perikatan London dengan Belanda pada 1824 iaitu British akan menyerahkan pemerintahan mereka di Bengkulu, Sumatera kepada Belanda dan Belanda menyerahkan Melaka kepada pemerintahan British,” katanya.

Sejak itu, British menguasai dan memerintah Melaka dan bermulalah kisah persengketaan dan perjuangan suci antara Dol Said dan pengikutnya dengan kuasa asing itu, demi mempertahankan tanah air merdeka mereka iaitu Naning.

“Sebelum itu pada 1801, ketika British memerintah Melaka sementara dari Belanda ketika Perang Napoleon, satu perjanjian sudah dibuat Naning yang diwakili Penghulu Dol Said dan empat ketua suku dengan British, disebabkan Naning adalah negara jiran kepada Melaka yang dikuasai British.

“Antara syarat perjanjian itu adalah Naning perlu menghantar satu persepuluh daripada hasil pertanian mereka kepada British. Sebelum ini pun Naning ada menghantar hasil pertanian mereka kepada Belanda sebagai tanda persahabatan.

“Dan apabila British memerintah, Naning bersetuju menghantar bahagian itu sebagai kelangsungan tanda persahabatan dengan Melaka (British) tetapi British pula menganggap Naning menghantar hasil itu disebabkan Naning tunduk kepada kekuasaan mereka,” katanya.

Dr Abdullah berkata, apabila Melaka dipulangkan kembali British kepada pihak Belanda di bawah Perikatan Vienna selepas Perang Napoleon pada 1818, perjanjian penghantaran hasil itu mungkin turut dimansuhkan.

Belanda memerintah Melaka selama kira-kira tujuh tahun sebelum diserahkan kepada British melalui Perikatan London 1824. Apabila British kembali memerintah, mereka ingin menguatkuasakan kembali perjanjian penghantaran hasil tahunan Naning yang sudah dimansuhkan.

Bagaimanapun, takrifan satu persepuluh daripada hasil pertanian Naning seperti dikemukakan British adalah melampau dan terlalu tinggi sehingga membebankan penduduk.

“Konflik timbul apabila British mendakwa bahawa Naning adalah sebahagian daripada Melaka dan berada di bawah pemerintahan British tetapi ia disangkal Dol Said yang menyatakan bahawa Naning adalah negeri merdeka.

“Dol Said sanggup menghantar hasil tahunan sebagai tanda persahabatan tetapi tidak mahu menghantar jika British menganggap yang negeri itu adalah sebahagian dari Melaka dan mereka mesti tunduk kepada British,” katanya.

Konflik itu berlarutan apabila Naning enggan tunduk kepada undang-undang diperkenalkan British apabila pada 1828, Dol Said menyelesaikan sendiri satu kes bunuh di Naning. Tindakan itu menyemarakkan lagi sengketa apabila British mendakwa kes bunuh itu perlu dihakimi oleh mereka di Melaka kerana Naning adalah sebahagian dari Melaka.

“Dol Said diberi amaran oleh British berhubung perkara itu sehingga membangkitkan kemarahan tokoh itu.

“Gabenor Negeri-negeri Selat (negeri-negeri selat adalah Pulau Pinang, Singapura dan Melaka yang diperintah British) iaitu Ibbetson melihat Naning sebagai jajahan Melaka yang ingkar dan menentang British menyebabkan mereka membuat keputusan untuk menyerang dan menakluki negeri itu,” katanya.

Keputusan itu menjadi pencetus kepada Perang Naning Pertama 1831. Sikap angkuh British menyebabkan mereka memandang rendah terhadap Naning dengan anggapan bahawa negeri kecil dan miskin itu mampu dikalahkan dalam tempoh sehari saja.

Lalu mereka menghantar pasukan kecil tentera iaitu seramai 150 anggota yang diketuai Kapten Wyllie untuk menyerang negeri itu pada 6 Ogos tahun itu.

“Dol Said sudah menyedari rancangan serangan British itu menyebabkan dia mengumpul penduduk Naning dan mendapatkan bantuan ketenteraan negeri jiran antaranya dari Yamtuan Ali Rembau, Pembesar Sri Menanti, Penghulu Linggi dan Datuk Kelana Sungai Ujong,” katanya.

Tanpa pengetahuan British, pasukan Naning sudah dibentuk dengan kira-kira 4,000 kekuatan tentera untuk menghadapi 150 tentera British. Bagaimanapun, British memiliki beberapa kelebihan kerana memiliki senapang dan membawa sebuah meriam manakala pasukan Dol Said sekadar bersenjatakan parang, lembing dan senjata tradisional.

Selain kekuatan anggota, Dol Said juga bijak merencanakan strategi perang apabila melancarkan serang gerila. Tentera British sentiasa diserang di kawasan hutan sejak mereka memulakan ekspedisi ke Naning.

“Pasukan gerila hutan Dol Said menggunakan taktik menanam ranjau sebagai jerangkap samar ketika tentera British melalui laluan hutan. Mereka turut menebang pokok merentangi laluan tentera British sekali gus menghalang perjalanan mereka kerana British membawa meriam menggunakan kereta lembu.

“Ketika tentera British sibuk dan leka membersihkan laluan dan mengalihkan pokok yang ditebang, pasukan Dol Said menyerang hendap mereka dan taktik serupa dilakukan berulang kali sepanjang laluan dari Melaka ke Naning,” katanya.

Beliau berkata, taktik itu nyata berkesan apabila tentera British terpaksa melarikan diri pulang ke Melaka akibat kecederaan, walaupun perjalanan mereka sudah memakan masa kira-kira 18 hari dan sudah sampai di Meleket iaitu kira-kira tujuh kilometer dari Naning. Melihat pasukan mereka pulang dengan kecederaan dan kalah teruk sebelum sempat menjejakkan kaki di Naning, pemerintah British menjadi berang dan mereka kembali mengumpul kekuatan untuk melancarkan gelombang Perang Naning Kedua 1832.

PROFIL: Dol Said
Nama sebenar: Abdul Said
Tahun lahir: 1773
Tahun kematian: 1849 (76 tahun)
Suku kaum: Semelenggang.
Asal: Naning (kini Alor Gajah, Melaka)
Sumbangan: Pemerintah Naning kesembilan, tokoh penentang British.

Penjajah tawar wang tunai tangkap Datuk Seroja Merah

SELAIN mengumpulkan bala tentera untuk menyerang habis-habisan tentera Dol Said pada Perang Naning Kedua 1832, British turut mengeluarkan tawaran lumayan kepada sesiapa saja yang dapat menangkap Dol Said dan pengikutnya.

Tawaran itu berupa 1,000 wang Sepanyol bagi tangkapan hidup atau mati Dol Said dan 200 Sepanyol kepada pengikut tokoh itu iaitu Andika, Petah Melayu, Cik Had dan Cik Mohamad.

Pada Februari 1832, gerakan memerangi dan menawan Naning kali kedua dilancarkan British dengan kekuatan tentera antara 1,200 hingga 1,400 anggota diketuai Kolonel Herbert.

Tentangan kali ini bagaimanapun menimbulkan kesulitan pada pihak Dol Said kerana negeri jiran mereka tidak lagi mahu menghulurkan bantuan ketenteraan selepas negeri jiran itu diugut British.

Malah, ada antara negeri jiran Naning itu bertukar sokongan dengan memberi bantuan kepada British lantaran takut penjajah itu menyerang mereka pula.

Selepas bertempur sengit sehingga berlarutan selama tiga bulan, dengan kekuatan tentera terhad hanya kepada penduduk Naning selain kelemahan aspek senjata, pasukan Dol Said gagal mempertahankan tanah air mereka itu.

Pahlawan itu dan beberapa pengikutnya terpaksa berundur ke Pasir Besar dan Naning jatuh ke tangan British pada 15 Jun 1832. Setahun menyembunyikan diri, Dol Said menyerah diri kepada British.

Beliau tidak dikenakan hukuman berat oleh British melainkan jawatannya dilucutkan dan dia menjadi rakyat biasa. Negerinya diambil British dan dia hanya digantikan dengan sebuah rumah dan pencen 100 rupee sebulan oleh tentera asing itu.

Beberapa pengikutnya yang lain dihukum buang negeri ke India. Hidup sebagai rakyat kebanyakan, Dol Said meninggal dunia pada Ogos 1849 dan disemadikan di Tanah Perkuburan Taboh Naning.

Dr Abdullah mendiamkan diri seketika selepas selesai menceritakan perjuangan wira bangsa itu. Kemudian dia memandang penulis dan selepas selesai berfikir, beliau memulakan bicara:

“Inilah semangat perjuangan bangsa Melayu terdahulu, kehadiran kuasa Barat tidak kita terima dengan mudahnya dan mereka menghadapi tentangan hebat. Kemenangan dalam Perang Naning Pertama 1831 membuktikan yang semangat bersatu padu dan strategi peperangan membolehkan kita menang.

“Walaupun ketika itu kita tidak memiliki senjata hebat, kita menang kerana bersatu. Perang Naning Kedua 1832 sendiri menjadi contoh jika bangsa Melayu tidak bersatu, ditambah pula jika ada antara bangsa Melayu yang menyokong Barat, kita akan menemui kekalahan,” katanya.

Seketika Dr Abdullah kembali menjengah ruang fikir. Beliau melihat persamaan antara sikap angkuh British kononnya sebagai kuasa besar dan memandang rendah terhadap kuasa kecil Naning, sama sekali dengan kekalahan Amerika terhadap Vietnam dalam Perang Vietnam pada 1959 hingga 1975.

“Sayang sekali tiada pihak yang merekodkan peribadi dan fizikal Dol Said sekali gus menyebabkan kita kehilangan satu cebisan warisan sejarah. Mungkin ketika itu sudah ada orang Melayu yang melukis tetapi tiada lakaran wajah dan jasad Dol Said yang kita temui.

“Seorang tentera yang terbabit dalam dua perang Naning itu iaitu PJ Beg Bie menulis mengenai Perang Naning dalam bukunya The Malayan Peninsular tetapi tidak menyatakan perwatakan Dol Said,” katanya.

Beliau berkata, penulis sejarah terdahulu seperti Abdullah Munshi pula tidak menulis mengenai perwatakan pejuang itu kerana Abdullah berfikir bahawa sudah ada tulisan mengenai perang Naning, jadi beliau tidak perlu menulis lagi.

Sumber : Berita Harian

Omar Mat Kilau

Pejuang Melayu Pahang didakwa meninggal dunia pada 22 Oktober 1895 dedah diri sebenar di Pulau Tawar pada 1969


Pahlawan terbilang Melayu, Mat Kilau tidak hanya berjuang menentang penjajah di negeri kelahirannya, Pahang malah turut sama menyemarakkan semangat perjuangan bagi menebus maruah bangsa dan agama di negeri jiran iaitu Terengganu dan Kelantan.

Anak kelahiran Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut itu adalah anak kepada orang besar Pahang, Imam Rasu yang turut dikenali sebagai Tok Gajah.

Sekitar 1890-an, berlaku pemberontakan rakyat di Pahang yang marah dengan tindakan British mengambil alih tugas memungut cukai dan hasil daripada pembesar negeri yang dilantik.

Antara yang menerima akibat daripada campur tangan pentadbiran British di Pahang adalah pembesar negeri iaitu Tok Gajah dan Datuk Bahaman.

Kesan daripada itu, bermula siri pemberontakan di kalangan pembesar negeri hingga mengakibatkan mereka diburu British kerana menentang penjajah.

Rentetan daripada peristiwa itu, British mengisytiharkan perang terhadap beberapa pembesar Pahang dan mengarahkan mereka ditangkap serta dihukum.

Bagaimanapun, Mat Kilau dan beberapa pembesar lain berjaya melarikan diri dan menyebarkan semangat perjuangan menentang penjajahan di negeri jiran iaitu Kelantan dan Terengganu.

Perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua tokoh ternama kedua-dua negeri iaitu ulama terkenal Terengganu, Tokku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan.

Melalui kerjasama dan sokongan padu yang diberikan, Mat Kilau yang agak mahir dengan ilmu hutan menyusup masuk ke Terengganu dan Kelantan melalui beberapa laluan khusus yang hingga ke hari ini laluannya masih tetap digunakan khususnya pencari gaharu.

Dipercayai, terdapat tiga laluan yang digunakan Mat Kilau untuk ke Terengganu dan Kelantan bagi mendapatkan sokongan penduduk di kedua-dua negeri itu.

Antaranya, laluan dari Kampung Bantal di Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, laluan dari Jerantut ke Pasir Nering, Hulu Terengganu dan laluan dari Jerantut ke Gua Musang Kelantan.

Bagaimanapun, laluan yang kerap digunakan Mat Kilau dan pengikutnya bagi mengelakkan diri daripada British adalah laluan antara Kampung Bantal ke Kampung Pasir Raja.

Penentangan Mat Kilau yang berterusan terhadap British menyebabkan dia menjadi orang buruan yang paling dikehendaki dan dicop sebagai penderhaka oleh Inggeris menyebabkan beliau mengasingkan diri dan hidup berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat.

Pada Oktober 1895, laporan akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura, iaitu The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Datuk Bahaman ditahan pemerintahan Siam. The Free Press pula menyatakan Mat Kilau yang melawan ketika ditangkap cedera pada muka dan kepala. Kecederaannya dikatakan parah dan dia mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan darah yang banyak.

Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka tamatlah riwayat pahlawan Melayu itu.

Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain.

Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris, maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Sejak 1930, Mat Kilau terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.

Pada Disember 1969, Tuhan menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya yang sebenar. Untuk mengelakkan dirinya daripada menjadi tumpuan ramai, Mat Kilau bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya.

Atas daya usaha Omar Mat Kilau, pahlawan Melayu itu dibawa ke kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar.

Pada Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau pergi ke masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau membaca Quran dan kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.

Pengisytiharan itu menggemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan, pada jam 10.30 pagi Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, Raja Tan Sri Yahya Mohd Seh.

Setelah empat hari pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana uzur. Usianya ketika itu dipercayai 122 tahun. Dengan kematiannya itu, beliau tidak sempat menceritakan kisah perjuangannya lebih lanjut.

Sumber : Berita Harian

Mat Hassan Panglima Munas (Tok Janggut)

Inggeris cuba menyembunyikan cerita sebenar mengenai Tok Janggut. Lelaki tersebut dan kumpulannya dituduh penderhaka kepada sultan, bangsa dan tanah airnya iaitu Kelantan.

PROFIL

HAJI MAT HASSAN PANGLIMA MUNAS
Gelaran lain: Tok Janggut
Tahun lahir: 1850
Tempat lahir: Kampung Saring daerah Jeram, Kelantan.
Tahun kematian: 1915 (berusia 65 tahun).
Sumbangan: pejuang kebebasan Kelantan.

Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan Panglima Munas itu cuba dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’.

Inggeris benar-benar mahu memburukkan nama baik pejuang kebebasan itu berikutan kesan dan pengaruh Tok Janggut yang bukan kecil. Pada mereka jika tindakan Tok Janggut tidak disekat, maruah sebagai kuasa dunia dan bangsa yang ‘pintar’ akan terjejas.

Tok Janggut Di gantung songsang

Mereka mengambil keputusan membunuh Tok Janggut. Apabila tokoh yang juga ulama itu meninggal, mereka sedar ‘aura perjuangan’ Mat Hassan juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan peristiwa itu berulang.

Mayat Tok Janggut

Seterusnya mereka melancarkan perang saraf memburukkan Tok Janggut dan pengikutnya, dengan harapan generasi mendatang menganggap lelaki itu dan kumpulannya penderhaka dan pengkhianat bangsa dan negara.

Umpama menyelimuti gajah dengan sapu tangan, usaha itu tidak berhasil kerana masyarakat masih menyanjung sumbangan Tok Janggut berserta sahabat dan pengikutnya terhadap negara.

Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal disanjung sehingga kini.

Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipupuk sejak kecil. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram, Kelantan pada 1850. Berikutan ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana, dia turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram.

Beliau belajar ilmu agama di Makkah. Ketika berusia 52 tahun dan masih di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat supaya muridnya berikhtiar membebaskan jajahan dikenali sebagai Serambi Makkah itu. Ketika itu, Inggeris mula melebarkan penjajahan ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung.

Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.

Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan.

Mat Hassan pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.

Mat Hassan juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman.

Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu.

Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya.

Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati.

Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Mat Hassan memutuskan tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan.

Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.

Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang Inggeris dan memutuskan mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka.

Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Mat Hassan.

Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Mat Hassan menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata.

Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya.

Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan Mat Hassan menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.

Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja.

Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini sultan sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan.

Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad ke-IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir.

Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.

Atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke-IV memutuskan menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka.

Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 pengikut kanannya akan menerima ganjaran.

Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut.

Beliau meminta Gabenor menghantar bantuan tentera ke Kelantan dan seramai 239 askar Inggeris dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan tidak berdepan pasukan Inggeris yang mempunyai kelengkapan senjata itu. Sebaliknya, mereka bersembunyi dan selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke Singapura.

Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915.

Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ.

Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.

Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan “Allahu akbar!”, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut terbunuh bersama ramai pengikutnya.

Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan

Sumber : Berita Harian

Video Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957

Tanah Melayu telah menerima pengisytiharan kemerdekaannya tepat pada detik pertama pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, bagi menandakan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia.Laungan "MERDEKA" telah dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman sebanyak 7 kali,Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama keesokan harinya tepat 9.30 pagi di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Riang Ria Merdeka

Lari dan berlari..
Kanak-kanak berlari mengejar rakan
Riang bermain di senja hari
Membawa senjata palsu melawan musuh
Kononnya berperang menuntut merdeka
Adakah mereka kenal erti merdeka?

Sorak dan tawa..
Mereka gembira menawan musuh
Mendapat bendera tanda mereka menang
Bersorak-sorak
Melompat-lompat bertepuk tangan

Mengibar bendera menjadi tugu negara
Bangga berjaya mengalahkan musuh
Mereka menjerit mentertawakan yang tewas

Mentari melabuhkan tirainya
Malam menyusul bersama bulan dan bintang
Keheningan malam membangkitkan suasana
Penat bermain di siang hari
Kini lena diulit mimpi

Adik-adikku..
Mengertikah engkau maksud kemerdekaan?
Di sebalik bermain perang menentang musuh
Apakah engkau mengerti apa itu pengorbanan?
Setelah puas ketawa, bersorak dan gembira..

Wahai adik-adikku..
Hayatilah erti kemerdekaan
Ingatilah perwira-perwira negara menuntut kemerdekaan
Kelak engkau akan faham
Mengapa merdeka perlu dipertahankan
Mengapa bendera dikibarkan
Mengapa tugu negara dibina
Mengapa Malaysia harus cemerlang, gemilang dan terbilang

Kibarkanlah jalur gemilang
Tabikla perwira-perwira negara
Jadila rakyat yang mengerti apa itu kemerdekaan

Adik-adikku..
Bergembirala
Bersorakla
Bila engkau tahu apa itu kemerdekaan
Kerana engkau akan mengerti apa tanggungjawabmu.

Nurkilan Md.Rz @ Mohd Rozaimie..

Pengisytiharan Kemerdekaan

http://www.geocities.com/it409/1957.GIF

Apabila tarikh Kemerdekaan telah ditentukan, Tunku telah mengarah Jabatan Kerja Raya untuk membina sebuah stadium terbuka yang akan dijadikan tempat pengistiharan Kemerdekaan. Tunku memilih sendiri lokasinya, di sebuah bukit yang rendah berdekatan Jalan Birch dan stadium itu dinamakan 'Stadium Merdeka'.

Stadium Merdeka 5.00 pagi, 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya. Dato' Abdul Razak yang melawat Stadium pada pagi itu gelisah dengan takungan air di tengah-tengah padang di mana Askar Melayu akan mengadakan perbarisan kehormat. Dato' Razak adalah Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan dengan Tunku sendiri adalah Pengerusinya. 7.00 pagi, hujan mulai reda. Dato' Razak menalifon Tunku dan melaporkan keadaan di stadium. Beliau mencadangkan agar ketibaan Raja-raja Melayu, Duke serta isteri dan Pesuruhjaya Tinggi dilewatkan satu jam 9.00 pagi, langit mulai cerah, rintik-rintik hujan semakin mengecil dan hilang dari pandangan. Perabut dan perhiasan mula dibawa keluar dengan kadar segera. Tunku telah bersiap sedia di rumahnya. Berbaju Melayu hitam, berkain samping, berselitkan keris bersarong gading dipinggang serta bertengkolok songket, Tunku menantikan saat untuk bertolak.

Di Stadium Merdeka, Tunku berdiri gagah menerima ketibaan Duke of Gloucester yang memakai pakaian istiadat ketenteraan British berpangkat Field Marshall. 'God Save The Queen' berkumandang ketika Duke of Gloucester yang merupakan pakcik Queen Elizabeth II masuk dan mengambil tempat. Duke telah diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray. Raja-raja Melayu pula duduk dipayungi oleh sembilan payung kuning, Yang DiPertuan Agong pula duduk di tengah-tengah, di kirinya Tunku dan di kanannya Duke Duke kemudiannya menyerah 'Instrumen Kemerdekaan' yang mana merupakan suatu pengakuan British bahawa ia menyerahkan kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka kepada negara baru ini dan seterusnya menarik balik 'perlindungan' yang diberikan kepada negeri-negeri Melayu.

Tunku kemudiannya membacakan pengistiharan Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut "Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka". Acapkali suaranya tenggelam dan pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh rakyat sebuah negara baru yang lahir dari suatu perjuangan yang suci. Seorang anak bangsa yang menyaksikan segalanya di depan mata, menghuraikan pengalamannya, Hujan renyai-renyai menghiasi pagi. Tanpa disedari linangan air mata membasahi pipi. Stadium Merdeka dibanjiri oleh anak-anak bangsa yang datang dari setiap pelusuk negeri. Masing-masing hadir dengan harapan yang tinggi. Menjadi saksi, satu peristiwa yang penuh bererti, yang tidak akan dilupai tersemat disanubari sampai mati. Merdeka telah kita miliki 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Pilihanraya Umum Pertama Malaysia

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi4DnQdrIz9Uu_yt48GmY-ymHQIONX1Z_7-smwmBauZwhukTvGPblvNVylW-TBf9pTRh9srxSPn4aSuZvzL4zcI81lo2B_TzOUHYzrmi0jioURZnHC8UTZ7q6Xb4XymPLYdOJADrllA8x8/s320/pr+1969.jpg

Pilihan raya umum yang pertama ditandingkan pada tahun 1955. Parti-parti seperti PAS, Parti Negara di bawah pimpinan Dato' Onn bin Jaafar, Parti Buruh, Parti Progresif Perak, Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC dan sebagainya bertanding dalam pilihan raya umum tersebut.Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Dengan kemenangan dalam pilihan raya, kabinet kerajaan telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri yang pertama.

Pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai suatu rombongan ke London untuk membincangkan perkara-perkara mengenai kemerdekaan. Rundingan ini mengambil masa tiga minggu di London. Perjanjian London 1956 ditandatangani pada 8 Februari 1956 yang menyatakan persetujuan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sekembali ke Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan di Melaka.

Pada tahun 1956, suatu Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan. Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel atau lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid yang dipengerusi oleh Lord Reid dari Britian terdiri daripada pakar-pakar undang dari negara Komanwel. Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Reid dipinda oleh Jawatankuasa Kerja dan diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan.

Bendera Union Jack iaitu bendera British diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada tepat pukul 12 malam 31 Ogos 1957. Kemudian, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka. Jemaah Menteri diumumkan juga pada hari pengisytiharan kemerdekaan.

Perpaduan Politik

http://thestar.com.my/archives/2007/6/25/focus/n_pg38marshall.jpg

Bumi ini harus terlepas dari belenggu penjajah, itulah tekad penduduk Tanah Melayu Apabila bendera 'Union Jack' diturunkan diiringi lagu God Save The Queen dan bendera Persekutuan dinaikkan, perasaan gembira dan terharu rakyat yang berhimpun di Padang Kelab Selangor Kuala Lumpur pada ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Acara bersejarah yang menandakan berakhirnya era penjajahan di negara ini dan lahirlah sebuah negara yang merdeka dan berdaulat pada tanggal 31 Ogos 1957. Tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (pada 31 Ogos 1957) telah diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 20 Februari 1956 di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka.

Pemimpin yang bertanggungjawab membawa kemerdekaan kepada negara tidak lain Tunku yang digelar 'Bapa Kemerdekaan'. Kemerdekaan negara sememangnya dirintis oleh Tunku yang memulakan usahanya melalui rundingan dengan kerajaan British pada Januari 1956. Rundingan tersebut berlangsung selama 3 minggu daripada 18 Januari hingga 8 Februari 1956. Kemudiannya pada 9 Mei 1957 Tunku sekali lagi pergi ke London bersama Datuk Abdul Razak Hussain, Ong Yoke Lin dan V.T. Sambanthan untuk meneruskan rundingan. Kata sepakat dicapai dan British bersedia memberikan kemerdekaan. Peranan Tunku, Perdana Menteri yang pertama dalam membawa kemerdekaan Tanah Melayu sememangnya bukan sedikit.

Namun sebelum kemerdekaan dicapai oleh rakyat, pelbagai rintangan dan cabaran telah di harungi oleh pejuang-pejuang kemerdekaan. Segalanya perjuangan terakhir telah bermula setelah Jepun menyerah kalah. Selepas British menguasai semula Tanah Melayu, cadangan menubuhkan Malayan Union dikemukakan pada Oktober 1945. Sir Harold MacMichael telah datang ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan sultan supaya menyerahkan kuasa politik mereka kepada British. Pada 29 dan 30 Mac 1946 satu persidangan khas anjuran Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Kuala Lumpur. Buat pertama kalinya dalam sejarah nasionalisme Melayu, orang Melayu telah dengan lantang mengetepikan kepentingan kenegerian dan bersatu padu menentang rancangan Malayan Union. Kongres tersebut telah berjaya menggabungkan 41 pertubuhan Melayu pada masa itu dan kata sepakat diambil untuk tidak menerima cadangan Malayan Union.

Maka pada 1 April 1946 iaitu tarikh asal penubuhan Malayan Union, tidak seorang pun raja Melayu hadir di istiadat pelantikan Gabenornya, Sir Edward Gent. Ini menimbulkan kesedaran kerajaan British bahawa orang Melayu menentang rancangan politik tersebut dan akhirnya cadangan Malayan Union dibatalkan. Dengan pembatalan penubuhan Malayan Union, British sedar bahawa tanpa sokongan orang Melayu rancangan untuk mengadakan satu bentuk pemerintahan di negeri Melayu tidak akan berjaya. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan melalui satu perjanjian yang ditandatangani pada 21 Januari 1946 yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

Dalam masa yang sama gerakan nasionalis semakin berkembang. Pada 11 Mei 1946 Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Johor Bahru berikutan resolusi yang dipersetujui di Kuala Lumpur (untuk menubuhkan satu parti politik). Dalam kongres tersebut UMNO ditubuhkan. Selain UMNO, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) juga wujud sebagai parti yang berpengaruh dalam mendaulatkan bangsa Melayu. Pemimpin-pemimpinya termasuklah Ahmad Boestamam, Mohtaruddin Laso, Dahari Ali dan Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan Ishak Mohamad. Terdapat juga kumpulan politik bercorak lebih keislaman dikenali sebagai Hizbul Muslimin yang bermaksud Pertubuhan Kaum Muslimin. Dasar pertubuhan itu ialah menubuhkan sebuah 'Negara Islam'. Golongan ini mengasaskan satu pertubuhan politik iaitu Parti Islam Se-Malaya atau Pas dalam tahun 1951. UMNO diterima oleh British sebagai parti Melayu. Dalam tahun 1949 seorang pemimpin Cina, Tan Cheng Lock telah menubuhkan Persatuan Cina Tanah Melayu (Malayan Chinese Association) iaitu MCA. Pada 1952 MCA diterima oleh UMNO. MCA dan UMNO bersetuju bekerjasama dan menubuhkan Perikatan. Kemudiannya Kongres India Tanah Melayu (Malayan Indian Congress) iaitu MIC ditubuhkan dan terus menyertai Perikatan.

Bagi Sabah dan Sarawak perkembangan politiknya agak berbeza daripada negeri-negeri di Semenanjung. Sebelum 1841 kedua-dua negeri merupakan jajahan takluk kerajaan Brunei. Disebabkan beberapa pertimbangan dan keadaan politik, kerajaan Brunei telah menggadaikan Sarawak kepada James Brooke. Dalam tahun 1946 Vyner Brooke telah menyerahkan Sarawak kepada British yang menjadi jajahan British sehingga 1963. Sabah juga digadaikan oleh kerajaan Brunei kepada sebuah syarikat dinamakan The British North Borneo Chartered Company. Syarikat itu memerintah Sabah dari 1881 hingga 1946 sebelum diserahkan kepada kerajaan British. Sabah dan Sarawak kemudiannya menyertai Rancangan Malaysia pada 1963.

Penolakan Penjajahan British

http://farm3.static.flickr.com/2246/1967081968_c9cc0fd821_o.jpg

Pada tahun 1946, Inggeris kembali berkuasa di Tanah Melayu setelah Jepun menyerah kalah dan mengundurkan tenteranya. Namun rakyat menolak penjajahan Inggeris kerana corak penjajahan Jepun yang zalim dan kejam begitu menghantui.

Inggeris telah mengatur rancangan membentuk Malayan Union di Tanah Melayu. Sir Edward Gent, telah dihantar untuk menerajui Malayan Union yang pertama. Beliau telah mengangkat sumpah untuk jawatan tersebut di Kuala Lumpur. Rakyat menolak penubuhan Malayan Union malah juga ditentang oleh Raja-raja Melayu. Raja-raja Melayu dan rakyat tempatan mula menentang upacara itu dan berkabung selama satu minggu.

Pada tahun 1946, Datuk Onn Jaafar telah menubuhkan satu kongres bagi semua kumpulan dan pertubuhan politik Melayu di Tanah Melayu. Kongres ini telah diadakan di Kuala Lumpur pada Mac 1946. Dalam kongres tersebut, satu kata sepakat telah dicapai bagi membentuk sebuah parti politik sebagai wakil seluruh orang-orang Melayu di Semenanjung. Hasilnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah dibentuk. Bermula dari situ satu usaha ke arah memperjuangkan kemerdekaan Malaya telah tercetus dan akhirnya ke arah pembentukan negara Malaysia. Dengan beberapa barisan pejuang yang berjiwa kental yang antaranya terdiri dari Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, dan Tun Hussein Onn, maka pada 31 Ogos 1957 negara tercinta Malaysia telah menyaksikan satu detik bersejarah dengan penurunan bendera Union Jack di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai tanda berakhirnya sebuah penjajahan British di Tanah Melayu.

Cara Mengibarkan Jalur Gemilang

Susunan Dan Kedudukan

Susunan dan kedudukan bendera adalah bergantung kepada di mana bendera-bendera tersebut berada:

(i) Di Luar dan Di Dalam Bangunan
(ii) Semasa Perarakan
(iii) Kedudukan Pada Dinding/Tembok Bangunan Atau Objek Statik

Di Luar dan Di Dalam Bangunan

a) Hari Biasa dan Hari-Hari Kebesaran Persekutuan

Bagi 2 bendera dikibarkan di majlis peringkat Persekutuan yang diadakan di Negeri.

2 bendera

Bagi 3 bendera dikibarkan di majlis peringkat Persekutuan yang diadakan di Negeri.

3 bendera

b) Hari-Hari Kebesaran Negeri

Bagi 2 bendera dikibarkan di majlis peringkat Negeri di Negeri berkenaan.

2 bendera - negeri

Bagi 3 bendera dikibarkan di majlis peringkat Negeri di Negeri berkenaan

3 bendera - negeri

c) Mengibarkan Jalur Gemilang Dengan Bendera Negeri-Negeri

Dikibarkan secara sebaris dengan keutamaan bermula dari kiri ke kanan.

Susun1


Dikibarkan secara sebaris dengan keutamaan bermula dari tengah-tengah.

Susun2

Dikibarkan secara sebaris dengan dibahagi dua belah dan
keutamaannya bermula dari dalam.

Susun3

d) Persidangan Antarabangsa

Bendera hendaklah dikibarkan atau disusun mengikut dua cara; berdasarkan susunan abjad nama negara-negara berkenaan dan seperti yang ditetapkan oleh pertubuhan berkenaan jika ada.

Dikibar secara dibahagi dua.

Susun4


Dikibarkan secara sebaris.

Susun5


Susunan bendera di atas meja.
(Mengikut abjad arah lawan pusingan jam)

Susun6

e) Kedai / Rumah

Bila bendera dikibarkan di deretan kedai atau rumah, ia hendaklah dikibarkan pada tiang yang dicondongkan ke arah jalanraya. Jika 2 bendera dikibarkan, Jalur Gemialng dikibarkan di sebelah kiri.

Kibaran di Rumah

f) Kedudukan Bersilang

Dalam keadaan dikibarkan bersilang, Jalur Gemilang hendaklah dikibarkan disebelah kiri dan di atas bendera yang lain.

Bersilang

Jika Jalur Gemilang diletakkan di dalam satu kumpulan bendera negeri dan bendera swasta, Jalur Gemilang hedndaklah dikibarkan di tengah-tengah di antara dua bendera dan tiangnya lebih tinggi sedikit dari tiang-tiang yang lain. Bendera Negeri dikibarkan di sebelah kiri manakala bendera swasta di sebelah kanan.

Silang Tengah

g) Semasa Lawatan Negara/Rasmi

Menjadi amalan biasa negara kita memberi penghormatan kepada pelawat, bendera negara pelawat akan diberikan keutamaan. Contoh di bawah menunjukkan lawatan Presiden Indonesia ke Malaysia.

Lawatan Rasmi Negara Luar

h) Acara Dalam Dewan / Bangunan / Stadium

Susunan bendera semasa seminar.

Seminar

Susunan bendera semasa mesyuarat.

Mesyuarat


Susunan bendera semasa majlis perundangan / perbincangan.

Perbincangan


Susunan bendera semasa majlis perundangan / perbincangan antara dua negara.

Perbincangan Antara Negara


Susunan bendera semasa acara sukan.

Sukan


Semasa Perarakan

a) Bendera Berkibar

Jika bendera diarak secara sebaris, Jalur Gemialng hendaklah mendahului bendera-bendera lain.

Susunan Bendera Sebaris

Arak Sebaris

Jika bendera diarak secara sederet, Jalur Gemilang hendaklah diletakkan di tengah-tengah dan kehadapan sedikit daripada bendera-bendera lain.

Susunan Bendera Sederet

Arak Sederet

b) Bendera Terbentang

Jika bendera dibawa secara terbentang, bahagian kepala bendera hendaklah diusung mendahului perarakan.

Jalur Gemilang Diarak Secara Terbentang

Bentang

Kedudukan Pada Dinding/Tembok Bangunan Atau Objek Statik

Kedudukan Bendera Pada Dinding

Dinding


Kedudukan Bendera Pada Tempat Orang Berucap

Latarbelakang

Apabila dua atau lebih bendera dipamerkan di dinding, keutamaan diberikan kepada Jalur Gemilang, Susunannya sama seperti susunan Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri mengikut keutamaan.

Di majlis sempena lawatan negara / rasmi, kedudukan bendera negara pelawat di sebelah kiri.

Kedudukan Dua Bendera Pada Dinding

Lawatan Negara Luar

Sumber : Kementerian Penerangan

Cara Menghormati Jalur Gemilang (1)

Adat Dan Tertib
  1. Sebelum menaikkan bendera, ujilah tali bendera terlebih dahulu bagi memastikannya teguh dan tidak mudah putus hingga menyebabkan bendera jatuh atau tidak tentu kibarannya.
  2. Sebelum bendera dinaikkan pastikan ianya dalam keadaan yang baik.
  3. Mereka yang menaikkan dan menurunkan bendera hendaklah berpakaian kemas.
  4. Menaikkan dan menurunkan bendera dengan perlahan-lahan. Apabila mengibarkan bendera separuh tiang, bendera hendaklah dinaikkan dahulu sepenuhnyadan kemudian menurunkannya separuh tiang.Apabila menurunkan bendera separuh tiang, naikkan semula bendera sepenuh tiang dan kemudian turunkannya terus.
  5. Jangan meletakkan bendera di atas tanah semasa hendak menaikkannya.
  6. Jangan dibiarkan bendera meleret ke tanah sewaktu menurunkannya. Ia hendaklah ditatang atau diselimpangkan ke bahu apabila ia sampai ke bawah.
  7. Selepas digunakan, bendera hendaklah dilipat dan disimpan dengan baik di tempat yang tertentu.
  8. Bendera tidak seharusnya digunakan untuk mengalas meja atau menutup sesuatu melainkan digunakan dalam upacara Pemakaman/ Pemgkebumian Negara.
  9. Bendera yang koyak dan bertukar warna adalah dianggap bendera yang uzur dan tidak sepatutnya dikibarkan.Ia hendaklah dimusnahkan dengan cara yang sopan. Caranya ialah membakar bendera tersebut secara tertutup tanpa menunjukkan rasa tidak hormat kepada bendera tersebut.

Tempat

Jalur Gemilang dikibarkan di tempat-tempat seperti berikut:

- Kediaman
- Kedutaan
- Bangunan (di luar, di dalam, di atas)
- Pejabat
- Kapal / Feri / Bot
- Kapal Terbang
- Kereta


Hari

Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1994 menetapkan Bendera Persekutuan (Jalur Gemilang) hendaklan dikibarkan pada hari-hari pejabat biasa dan hari-hari Kebesaran Persekutuan dan Negeri.

Sekolah-sekolah hendaklah mengibarkan bendera pada hari-hari persekolahan.

Di peringkat Negeri, ia dikibarkan pada hari-hari seperti:

  • Hari Ulangtahun Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

  • Hari Kebangsaan

  • Lawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke negeri-negeri.


Masa

Tradisi mengibarkan bendera adalah dinaikkan dari waktu matahari terbit sehinggalah matahari terbenam iaitu mulai 7.00 pagi hingga 7.00 petang.

Kerajaan Persekutuan telah menetapkan bendera dikibarkan seperti berikut:

  1. Bangunan-Bangunan Kerajaan Persekutuan
    Mengikut waktu pejabat biasa dan dikibarkan terus menerus (overnight) sekiranya hari berikutnya adalah Hari Kebesaran/Cuti Umum yang ditetapkan bendera dikibarkan.

  2. Sekolah-Sekolah
    Mengikut waktu mulanya kelas pertama dan diturunkan selepas kelas terakhir tamat.

  3. Kapal dan Feri
    Dikibarkan sepanjang hari.


Susunan Keutamaan

Susunan Keutamaan bendera-bendera ialah seperti berikut:

1. Bendera Malaysia Jalur Gemilang
2. Bendera Negeri-Negeri (mengikut susunan keutamaan)
3. Bendera Wilayah (Susunan Keutamaan mengikut tarikh wilayah diwujudkan)
4. Bendera Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan
5. Bendera Pertubuhan dan Persatuan
6. Bendera Syarikat

Budaya Malaysia

Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum yang hidup dalam keadaan aman dan damai. Tiga kaum yang utama di Malaysia ialah Melayu, Cina dan India. Melayu merupakan masyarakat terbesar dengan 54% daripada populasi Malaysia. Melayu beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Kaum Melayu mempunyai pengaruh yang penting dalam arena politik di Malaysia. Cina pula mewakili 25% daripada penduduk Malaysia dan dan tinggal di bandar-bandar besar di pantai barat semenanjung. Kebanyakan kaum Cina berkepercayaan Buddha, Taoisme atau Kristian, berbahasa Mandarin, Hokkien, Hakka, Kantonis atau Teochew dan lebih dominan dalam bidang ekonomi. India pula membentuk 7.5% daripada populasi. Kebanyakannya beragama Hindu, bertutur Tamil, Malayalam, dan Hindi. Selain itu, terdapat juga kaum Sikh, Serani atau Eurasian dan kaum bumiputera lain. Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi Malaysia, tetapi Bahasa Inggeris digunakan secara meluas.

Kaum Bumiputera yang terbesar di Sarawak ialah Iban dengan 600,000 orang. Mereka tinggal di rumah panjang, dan menetap di Sungai Rajang dan Sungai Lupar. Orang Bidayuh (170,000) pula tinggal di barat daya Sarawak. Orang Asli (140,000) tinggal di Semenanjung Malaysia. Dahulunya mereka merupakan pengumpul hasil hutan, hidup seperti nomad, dan bercucuk tanam, tetapi kini sudah diserap ke dalam kehidupan moden Malaysia. Walaubagaimanapun, mereka kekal sebagai kumpulan etnik yang mempunyai pendapatan terendah berbanding kumpulan etnik yang lain. Kemungkinannya ini disebabkan sistem ekonomi mereka yang tidak bergantung kepada wang tunai, contohnya makanan dan rumah sebahagiannya dihasilkan dari keluaran hutan tanpa perlu dibeli. Bagaimanapun pihak kerajaan menawarkan peluang pelajaran yang samarata dan ada di antara mereka kini menjawat jawatan profesional seperti doktor.

Muzik Malaysia merangkumi muzik tradisional dan kontemporari yang dimainkan oleh rakyat Malaysia. Muzik tradisional banyak dipengaruhi oleh budaya Cina, Islam, India dan Indonesia. Kebanyakan alat muzik terdiri daripada gendang, seruling, gong dan sebagainya. Negara ini mempunyai tradisi yang kuat dalam tarian, sesetengahnya berasal daripada Thai, India, dan Portugis. Selain itu, ada juga wayang kulit, silat, dan barangan kraf seperti batik, sulaman, dan barangan perak dan tembaga.

Seperti rakyatnya, makanan di Malaysia adalah pelbagai, dari makanan berat seperti nasi lemak hinggalah yang ringan seperti kuih.