Pelaburan Asing Dan Domestik
Pertumbuhan ekonomi negara yang berterusan telah membawa kesan positif ke atas jumlah pelaburan asing dan tempatan. Pada tahun 2006 jumlah pelaburan asing dan tempatan telah mencecah RM 40 billion iaitu penambahan sebanyak kira-kira 60% berbanding tahun 2001.
Peningkatan yang mendadak ini melambangkan kestabilan dan perkembangan ekonomi yang berjaya menarik keyakinan pelabur asing dan tempatan. Keyakinan ini adalah atas dasar pemulihan ekonomi yang tepat oleh kerajaan Malaysia setelah krisis ekonomi pada tahun 1997.
Keluaran Dalam Negeri Kasar
Ekonomi Malaysia terus mengekalkan pertumbuhan pada suku keempat 2007 dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar berkembang sebanyak 7.3 peratus pada asas tahunan disokong oleh pertumbuhan global yang mampan dan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
Unjuran kenaikan satu peratus KDNK itu sejajar dengan pengembangan dalam kapasiti produktif berikutan pengukuhan pemulihan pembentukan modal.
Pendapatan Purata Perkapita
Kualiti hidup semua rakyat Malaysia dijangka terus meningkat dalam dekad akan datang, demikian menurut laporan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3). Perdapatan per kapita benar akan bertambah melebihi lima peratus setahun berikutan pertumbuhan ekonomi yang pesat.
Disebabkan kadar kemiskinan berada di tahap rendah, kerajaan akan menumpukan perhatian kepada meningkatkan pendapatan isi rumah terutama bagi kumpulan 30 peratus terendah.
Rancangan Malaysia
Rancangan Malaysia merupakan tempoh pelaksanaan program/projek pembangunan Kerajaan Malaysia yang dirancang untuk dilaksanakan dalam masa lima tahun. Rancangan lima tahun ini adalah kesan peninggalan daripada zaman pemerintahan British di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua.
Rancangan lima tahun bermula dengan Rancangan Malaya Pertama iaitu dari tahun 1956 hingga 1960 dan diikuti dengan Rancangan Malaya Kedua dari tahun 1961 hingga 1965. Setelah penubuhan Malaysia pada tahun 1963, rancangan lima tahun ini dikenali sebagai Rancangan Malaysia di mana Rancangan Malaysia Pertama bermula pada tahun 1966 hingga 1970. Bezanya ialah perancangan untuk pembangunan di bawah Rancangan Malaysia meliputi negeri-negeri Sabah dan Sarawak selain dari negeri-negeri Semenanjung Malayisa sebagaimana sebelumnya.
Eksport
Eksport Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang dijangka menggalakkan dengan eksport kasar berkembang pada kadar 8.5 peratus setahun. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan, jumlah dagangan dijangka melepasi satu trilion ringgit buat pertama kalinya.
No comments:
Post a Comment